Gara-gara insiden tidak sepatutnya berlaku semasa sambutan 2017 di Klang baru-baru ini, polis meminta empat individu yang bertanggungjawab memulakan pembakaran bunga api dan diyakini dapat menyelesaikan siasatan kes berkenaan tampil membantu siasatan.
Individu terbabit, kata polis, diberi tempoh sehingga petang esok untuk hadir memberi kerjasama sebelum pihak berkuasa bertindak lanjut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata lelaki terbabit berusia 30 tahun adalah juruletup yang memulakan pembakaran bunga api di Fiesta Gegar Klang pada 31 Disember lalu.
Kata Abdul Samah, seseorang juruletup sepatutnya memiliki lesen, masing-masing daripada polis dan Bahagian Geosains Kementerian Dalam Negeri.
"Namun juruletup yang dicari polis itu dipercayai tidak mempunyai lesen berkenaan," katanya.
Abdul Samah juga berkata selain juruletup terbabit, turut dikehendaki polis ialah tiga pembantunya.
Abdul Samah berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.
Dalam kejadian malam Sabtu lalu, kegembiraan pengunjung Fiesta Klang yang menunggu ketibaan tahun baru bertukar mimpi ngeri apabila sebahagian daripada bunga api yang dinyalakan, meletup di atas tanah.
Dilaporkan seramai 14 cedera akibat kejadian itu.
Abdul Samah berkata kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957.
Beliau bagaimanapun menjelaskan kemungkinan individu yang dicari itu tidak menyorok sebaliknya bimbang untuk tampil bertemu polis.
Justeru, katanya, polis menggunakan saluran media untuk menggesa individu berkenaan datang bertemu pihak berkuasa untuk membantu siasatan.
“Polis dah tahu siapa mereka dan yakin boleh menemui individu terbabit (jika tetap tidak menyerah diri). Bagi kita sedikit masa," katanya.
Janji ambil tindakan jika cuai
Abdul Samah berkata empat individu tersebut bukan kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK), sebaliknya pihak yang dilantik kerajaan tempatan itu sempena majlis berkenaan.
"Polis dah kenal pasti… MPK yang melantik, tapi sama ada mereka tahu atau tidak (juruletup itu memiliki lesen) biar polis lengkapkan siasatan dulu.
"Kita buat rumusan (sama ada MPK sedar individu terbabit layak atau tidak) selepas siasatan disiapkan," katanya.
Beliau juga memberitahu satu pasukan penyiasat ditubuhkan bagi menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.
"Sehingga kini polis sudah mengambil keterangan daripada 21 individu mengenai perkara itu," katanya.
Sementara itu, Exco Selangor Ean Yong Hian Wah berkata MPK turut menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat insiden berkenaan.
Katanya, MPK tidak pernah meluluskan pertunjukan bunga api dalam program Fiesta Gegar Klang 2016.
“Justeru, ia bukan salah satu komponen atau pertunjukan dalam program rasmi Fiesta Gegar Klang 2016,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ean, kerajaan negeri memandang serius insiden berkenaan dan memberi jaminan untuk mengambil tindakan disiplin atau undang-undang jika didapati ada pihak cuai atau menyalahgunakan kuasa.
“Pegawai yang terlibat dalam isu ini diarah bercuti sehingga 31 Januari sementara menunggu laporan siasatan diterima.
“MPK juga akan terus bekerjasama dengan pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan