Ahad, 22 Januari 2017

Jabu berundur, Uggah dan Awang Tengah Timbalan Presiden PBB

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
PETRA JAYA: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Alfred Jabu Numpang, hari ini mengambil keputusan untuk berundur dari arena politik yang diceburinya sejak lebih 40 tahun lalu untuk memberi laluan kepada pemimpin lebih muda, khususnya Timbalan Ketua Menteri ketika ini, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
 
Pengunduran Jabu yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB, di sini, hari ini.
 
"Tan Sri (Jabu) mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam politik dan kita meminta beliau memanfaatkan pengalaman itu untuk menjadi penasihat kita sebagai `apai PBB' (bapa PBB).
 
"Beliau memberi sumbangan yang cukup besar dalam mengukuhkan parti sehingga berjaya meletakkan PBB pada kedudukan sekarang," katanya.
 
Abdul Rahman Zohari berkata, berikutan keputusan Jabu itu, tempat beliau sebagai orang nombor dua dalam parti politik terbesar Sarawak itu kini dipangku Uggah yang juga Naib Presiden Kanan PBB.
 
"Selain itu, kekosongan satu lagi jawatan Timbalan Presiden yang kosong berikutan pelantikan saya sebagai Ketua Menteri dan Presiden parti akan dipangku seorang lagi Naib Presiden Kanan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan," katanya.
 
Mengenai calon yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, 18 Februari depan, Abdul Rahman Zohari berkata, beberapa nama sudah disenarai pendek dan beliau akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat.
 
 

Tiada ulasan: