Jumaat, 6 Januari 2017

Amanah Mahu Bertanding 40 Kerusi, Adakah Keputusan PH, Soal PAS




khairuddin

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) diminta untuk tidak terus berdiam diri berhubung kenyataan Amanah yang mahu bertanding di 40 kerusi milik PAS dan PKR pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman hari ini menegaskan parti itu terbuka untuk menghormati keputusan pembangkang yang lain, sekiranya tidak menggugat kerusi mereka.


Tetapi ujarnya, jika perkara sebaliknya berlaku PAS tidak akan teragak-agak untuk bertanding kerusi selain yang dimiliki parti itu.

“PH kena buat pendirian berhubung kenyataan Amanah. Sekiranya PH menghormati PAS, nyatakan bahawa mereka menghormati kerusi-kerusi kita. Dan kita akan menghormati kerusi kawan-kawan kita dalam PH.

“Sekiranya PH menyatakan mereka bersedia mengambil kerusi (PAS) di Selangor, maka selari dengan konsep ‘free for all’, kita juga bersedia untuk masuk mana-mana kerusi di Selangor,” katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad pada minggu lalu mengajak Amanah untuk ‘sama-sama menanggung akibat’ jika parti itu tetap mahu meletakkan calon di kerusi tradisi miliknya pada PRU14.

Ujarnya partinya bersedia untuk turut sama menerokai kawasan baru, jika Amanah membuat langkah pertama dengan mengusik kerusi PAS.

Ekoran kenyataan itu, Amanah kemudiannya secara terbuka memberitahu mahu bertanding kerusi DUN Chempaka, yang dimiliki Iskandar selepas mendakwa pemimpin PAS itu mengamalkan politik ‘mengugut’.

Sehubungan dengan itu, Khairuddin mempersoalkan adakah tindakan Amanah ini mendapat persetujuan antara PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Persoalan besar, adakah PKR, PPBM dan DAP mengiktiraf kenyataan Amanah? Ini yang PAS Selangor hendak tahu

“Ataupun ini hanya pandangan yang tidak diiktiraf oleh kawan-kawan dalam PH?,” ujar ADUN Paya Jaras itu.

Amanah menerusi Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad baru-baru ini memberitahu partinya berminat untuk bertanding di 40 kerusi pada pilihan raya akan datang termasuk milik PKR dan PAS.

Ujar Khalid, pemilikan kerusi tradisi yang selama ini dipertahan parti pembangkang tertentu sudah tidak relevan dengan suasana politik hari ini – AP

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: