Jumaat, 6 Januari 2017

Nasihat buat Radio IKIM.fm

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA),  
 

Seseorang yang tidak pernah berjumpa dengan Nabi S.A.W. semasa hidupnya, tidak boleh dipercayai tentang dakwaannya bermimpi bertemu Nabi S.A.W.

Dia bercerita, kita dengar sahajalah. Percaya jangan sekali-kali.

Ini sebagai menutup pintu kejahatan. Kejahatan itu ialah terbitnya arahan-arahan baharu melalui mimpi itu yang dianggap mendatangkan manfaat atau mudarat, dikira sebagai ibadat, atau sekurang-kurangnya orang yang bermimpi itu dikira mempunyai autoriti dalam bab agama sehingga boleh membelakangkan al-Quran dan Sunnah, Ijmak dan Qias.

Kesemua itu adalah kejahatan yang mesti ditutup jalan ke arahnya.

Berbincanglah tentang isi al-Quran. Belajarlah tentang petunjuk Sunnah. Ketahuilah tentang Ijmak Para Sahabat dan Ijmak para ulama. Pelajarilah ilmu tentang Qias. Jika tidak mampu, dengarlah nasihat daripada orang yang menggunakan hujah al-Quran dan Sunnah secara menyeluruh dan menurut disiplin ilmunya.

Radio IKIM sepatutnya tidak menjadi saluran kepada dakwaan-dakwaan peribadi yang tidak berasas dan berpotensi mencelarukan kefahaman Islam umat di Malaysia ini. Ia bertentangan dengan misi IKIM.

Kuatkan rujukan kefahaman umat pada sumbernya yang muktamad; Quran dan Sunnah, menurut disiplin ilmu yang berkaitan.

Nota: Mimpi tidak boleh dijadikan dalil hukum, apatah lagi dijadikan asas kefahaman tentang Islam.

Ustaz Haji Mohd Hazizi Ab Rahman, Ketua Penerangan Isma

Tiada ulasan: