Khamis, 19 Januari 2017

Akhirnya Anina Saaduddin buka mulut isu gugur ‘Srikandi PPBM’

Antarapos ·


 

SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin pada Selasa mempertikaikan alasan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan soal prestasi sebagai sebab penggugurannya daripada jawatan Ketua Srikandi parti.

Menerusi satu kenyataan media sebentar tadi, Anina berkata, sejak mengangkat sumpah jawatan pada November tahun lalu, beliau banyak menggerakkan sayap berkenaan tanpa sesen pun bantuan kewangan daripada parti.

“Saya telah mengangkat sumpah pada 2 November 2016 dan menyerahkan cadangan barisan kepimpinan Srikandi Pusat dan Negeri pada 17 November 2016 namun Presiden tidak membuat sebarang tindakan terhadap fail tersebut.

“Saya telah mengatur pertemuan dengan hampir kesemua Srikandi di negeri-negeri seluruh Semenanjung dan ianya dilakukan dalam tempoh 100 hari tanpa sesen pun peruntukan dari PPBM. Mungkin KPI nya dirahsiakan dari saya,” tulis Anina.


Beliau dalam pada itu turut memberikan reaksi terhadap kenyataan yang dikeluarkan beberapa pimpinan PPBM bersabit spekulasi pengguguran jawatannya.

“Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan saya tidak disyorkan untuk menjadi Ketua Srikandi kerana isu peribadi yang menjejaskan imej parti.

“Jika benar ada bukti sahih dan kukuh serta dengannya telah mencemarkan imej parti, maka saya mengesyorkan supaya saya dipecat dari parti,” katanya.

Anina juga menyangkal kenyataan Ketua Penerangan, Kamaruddin Md Noor yang menyatakan beliau sejak awal tidak pernah menjadi ketua Srikandi.

“Jika saya tidak pernah dilantik sebagai Ketua Srikandi, adakah tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz telah melakukan kesilapan setiap kali menyebut nama saya sebagai Ketua Srikandi dalam ucapan serta ceramah di seluruh negara?

“Kamaruddin Mat Nor mungkin tidak sesuai memegang jawatan Ketua Penerangan jika gagal bercakap dengan tepat. Mungkin beliau tidak banyak tahu sejarah PPBM kerana baru muncul setelah ditawarkan jawatan tersebut,” katanya.

Berhubung kenyataan Setiausaha Agung, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang menyatakan bahawa angkat sumpah jawatan Ketua Srikandi pada 2 November lalu adalah kesalahan teknikal, Anina mencadangkan Shahruddin menyemak kembali watikah asal.

“Di manakah kesilapan teknikal yang dimaksudkan oleh SUA? Jika ianya terletak pada watikah angkat sumpah jawatan pada 2 November 2016 yang lalu, mungkin SUA boleh menyemak kembali watikah ‘original’. Beliau baru kembali dari Mekah, sudah pasti beliau akan bercakap benar,” katanya.

Tambah Anina, beliau tampil membuka mulut bukan disebabkan jawatan, tetapi mahu memperjuangkan maruah.

“Jika ianya kerana jawatan dan wang, saya tidak akan berdiri di hadapan rakyat pada hari ini menentang manusia paling berkuasa di Malaysia. Tetapi saya merasakan bahawa parti telah melayan saya dengan kurang bijak,” katanya.

Isu jawatan Anina hangat melatari PPBM selepas pemimpin wanita itu dikaitkan terlibat dalam satu skandal seks apabila ‘screenshot’ perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki tidak dinamakan, tersebar.

Anina bagaimanapun memilih untuk mendiamkan diri daripada melayan isu berkenaan ekoran tiada bukti sahih.

“Meskipun ada yang mempertikaikan pilihan saya untuk berdiam diri namun saya terangkan kepada Tun M semalam alasan saya. Biar ianya menjadi perkongsian hanya antara saya dan Tun M. Tidak perlu mengaibkan sesiapa dan tidak perlu merosakkan hidup sesiapa,” ulas Anina.

Anina juga menafikan spekulasi beliau akan kembali kepada Umno ekoran kontroversi yang melanda dirinya itu.

Mengenai persoalan sama ada beliau akan terus bersama Majlis Pimpinan Tertinggi dan mengekalkan keahlian dalam PPBM, ujar Anina, ia akan dijawab selepas memikirkan sedalam-dalamnya nasihat yang diberikan Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika siri pertemuan hati ke hati baru-baru ini.

Dalam pada itu tambah Anina, beliau akan memberikan sokongan penuh kepada calon yang akan dilantik menggantikannya sebagai Ketua Srikandi kelak.

Tiada ulasan: