Khamis, 4 Ogos 2016

Zahid: Tiada masalah luluskan parti baru

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi


KUALA KANGSAR - Usaha menubuhkan parti baru akan diberi kelulusan segera sekiranya semua syarat dipenuhi.

Itu jaminan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan beliau tiada masalah untuk meluluskan permohonan membentuk parti politik baru dalam negara ini.

Menurutnya, sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Pendaftaran Penubuhan (ROS), semua syarat ditetapkan perlu dipenuhi bagi mendapatkan kelulusan.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran Penubuhan (ROS) di bawah tanggungjawab saya.

"Kalau rasa parti itu mahu ditubuhkan dan syarat-syarat itu dipenuhi, InsyaALLAH kelulusan akan disegerakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kesyukuran dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Umno/Barisan Nasional Negeri Perak di Dewan Jubli Perak, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, anak-anak Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Adun Manong, Mohd Kamil Shafie, Adun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman serta barisan kepimpinan BN negeri.

Zahid dipercayai berkata demikian bagi mengulas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan akan menubuhkan satu parti baru.

Malah, beliau turut menyuarakan untuk membentuk blok pembangkang yang lebih besar  menentang BN dalam PRU akan datang.

Parti baru itu dikatakan akan turut disertai bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta beberapa bekas pimpinan Umno yang lain.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, parti itu tidak gentar dengan penubuhan parti-parti baru sekiranya ahli-ahli parti terus kukuh mempertahankan parti.

"InsyaALLAH, ahli Umno dan rakan-rakan dalam BN tetap utuh dalam sebuah pasukan untuk menentukan bahawa biarlah parti-parti serpihan ini datang dan pergi, tetapi jiwa BN dan Umno tetap utuh di kalangan kita.

"Dengan syarat, kita tutup mata hati kita, kita buka mata, buka telinga. InsyaALLAH, BN akan terus menang dalam PRU14.

"Sekali kita ahli Umno dan parti-parti komponen BN, biar setinggi mana badai melanda, biar sekuat mana pun gelombang, kita akan tetap kuat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik," tegasnya.


Tiada ulasan: