Selasa, 2 Ogos 2016

Tidak salah desak PM berundur – Dr Aziz Bari

Aziz Bari


Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Mendesak supaya Perdana Menteri berundur daripada tampuk pemerintahan bukanlah suatu perkara yang perlu diperbesarkan kerana ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi, ujar pakar Perlembagaan, Dr. Aziz Bari.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor berkata, adalah menjadi hak rakyat di negara ini untuk menikmati pentadbiran kerajaan yang bebas daripada sebarang keraguan mengenai kesahan dan keupayaannya untuk terus menerajui negara.

Sehubungan itu, katanya, adalah tidak wajar Pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenivasan dikritik ekoran tindakannya meminta Datuk Seri Najib Razak berundur sebagai Perdana Menteri berikutan pelbagai dakwaan skandal yang melibatkan syarikat penuh milik kerajaan, 1MDB.

“Dan mungkin hanya dalam (negara) kleptokrasi seorang Perdana Menteri yang dilanda dengan pelbagai masalah ada keberanian untuk mengatakan bahawa beliau perlu untuk terus memegang jawatan itu demi melindungi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

20 Julai lalu, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil terhadap pihak-pihak yang didakwa menggelapkan dana terkait 1MDB. Dokumen saman itu menamakan “Malaysian Official 1” sebagai pegawai tinggi kerajaan yang didakwa pelbagai pihak merujuk kepada Perdana Menteri.

Ekoran daripada itu, empat hari selepas pendedahan DOJ tersebut, Ambiga dilaporkan media menggesa Najib Razak melepaskan jawatannya, malah turut meminta supaya “semua menteri yang tidak berkata apa-apa” tentang saman tersebut turut meninggalkan kabinet.

Mengulas lanjut, Dr. Aziz berkata, adalah menjadi budaya bagi sebahagian besar pemimpin luar negara melepaskan jawatan jika didapati gagal melaksanakan tugas yang membabitkan dasar dan kepentingan awam.

“Bandingkan saja apa yang Najib lakukan dengan apa yang dilakukan pemimpin British, David Cameron, beliau (Cameron) melepaskan jawatannya ekoran undi majoriti Brexit, yang mana telah menolak dasar beliau untuk terus kekal dalam Kesatuan Eropah (EU),” katanya.

Oleh itu, katanya, Najib harus bertanggungjawab terhadap kegagalan 1MDB dan semua menteri harus turut sama memikul beban kesalahan itu.

“Dari perspektif perlembagaan, tidak ada keperluan untuk menunggu sehingga perkara itu akhirnya disimpulkan di Amerika Syarikat. Atau sama ada kes ini masih satu kes sivil.

“Najib mungkin tidak tahu semua urusan yang telah dilakukan oleh 1MDB. Tetapi itu bukan isunya.
Pokoknya adalah 1MDB diasaskan oleh kerajaan Najib dan beliau harus memikul tanggungjawab itu,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: