Rabu, 3 Ogos 2016

Terlalu awal tentukan nasib parti baharu

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal


SHAH ALAM - Penganalisis menjangkakan terlalu awal untuk menentukan potensi parti baharu yang bakal ditubuhkan di Sabah oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, meskipun pelbagai ura-ura mengaitkan ramai di kalangan ahli Umno bertindak keluar parti bagi memberi sokongan terhadap parti Ahli Parlimen Sempoerna itu, ia boleh dikatakan sebagai gimik politik.

“Parti ini belum pun ditubuhkan. Kita tunggu dan lihat perkembangannya. Jika dibuktikan ada sokongan di kalangan ahli Umno sendiri, Umno berkemungkinan akan tergugat,” katanya mengulas penubuhan parti baharu oleh Mohd Shafie yang dilaporkan akan dilancar pada bila-bila masa.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Samsu Adabi Mamat menjangkakan penubuhan parti baharu itu hanya akan mewujudkan perpecahan dalam Umno.

Ini kerana katanya, pengaruh Mohd Shafie sebagai orang kuat pemimpin Umno di Sabah sudah tentu memainkan peranan penting.

“Bagi ahli yang merasakan parti tidak lagi menepati cita rasa mereka, sudah tentu akan bersama-sama dalam perjuangan parti baru itu. Ini akan menyebabkan perpecahan dalam Umno,” katanya.


Tiada ulasan: