Jumaat, 5 Ogos 2016

Semua ADUN PAS dijangka sokong undi tak percaya pada MB Terengganu - ADUN Cukai

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang lagi ADUN PAS menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Said jika benar ADUN Kijal itu benar-benar membawa usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.  
 
ADUN Cukai, Hanafiah Mat ketika dihubungi Antarapos tidak menolak semua ADUN PAS akan turut menyokong usul tersebut.
 
"Kita (ADUN PAS) belum pasti lagi usul ini ada atau tidak. Sehingga hari ini tiada satu perbincangan dengan pihak (Datuk Seri) Ahmad Said, kalau berlaku spontan begitu kita tidak pasti. 
 
"Kalau ikutkan usul dahulu sebahagian besar ADUN PAS menyokong undi tidak percaya yang dibawa oleh Ahmad Said. Yang (usul baru) ini, tidak ada lagi perbincangan sehingga hari ini," katanya.
 
Bagaimanapun, semua ADUN PAS Terengganu masih menunggu arahan daripada kepimpinan PAS Pusat sama ada menyokong atau tidak usul berkenaan.
 
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Ahmad Said mengugut mengusulkan undi tidak percaya kepada Ahmad Razif.
 
"Saya tidak pasti (ada perbincangan dengan PAS Pusat) tetapi pendirian kita di peringkat negeri begitulah (adakan pilihanrayan mengejut) dimana PAS Terengganu bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri," ujarnya.
 
Setakat ini, Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Zuber Embong mengesahkan DUN Terengganu masih belum menerima notis usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif. 
 
Biarpun tiada notis awal dikemukakan, usul berkenaan masih boleh dibawa kerana mengikut Peraturan Tetap DUN, mana-mana ADUN boleh berbuat demikian pada hari persidangan dengan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
 
Hanafiah kemudiannya berkata rakyat Terengganu harus diberikan mandat untuk sekali lagi memilih kerajaan manakah yang harus mentadbir negeri itu.
 
Beliau berkata demikian selepas ditanya adakah PAS bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut, jika usul berkenaan diteruskan.
 
"Pendirian kita, kita minta supaya kembalikan semula kepada rakyat untuk rakyat menentukan siapakah yang akan menjadi wakil rakyat dan membentuk kerajaan negeri Terengganu. Itu yang terbaik. 
 
"Kita seperti mana Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi) kata kita nak menang secara 'gentlemen', kita nak ambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri Terengganu secara menang dalam pilihan raya," katanya.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengambil pendirian berkecuali dalam isu cadangan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada awal Mac lalu.
 
 

Tiada ulasan: