Sabtu, 6 Ogos 2016

Rani dakwa PKR, DAP di Selangor juga enggan beri kerusi kepada Amanah

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman mendedahkan PKR dan DAP Selangor enggan memberikan mana-mana kerusi milik mereka untuk ditandingi oleh Amanah pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.
 
Rani yang juga ADUN Meru berkata perkara itu adalah hasil pertanyaan beliau kepada kepimpinan dan ADUN kedua-dua parti samada mereka sanggup memberikan laluan kepada Amanah untuk menjadi calon Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
 
"Secara tidak rasminya saya sahaja tanya YB daripada DAP Selangor. Berapa kerusi yang akan diberikan kepada Amanah kalau berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang? Mereka senyap, sama juga dengan YB PKR," katanya dalam temubual eksklusif dengan Antarapos.
 
Ujarnya, walaupun kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali kini disertai Amanah selepas terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) di peringkat nasional.
 
Namun perlu diingatkan kejayaan terus memerintah negeri terkaya ini, adalah hasil kerjasama tiga parti terdahulu iaitu DAP, PAS dan PKR sejak 2008 tanpa penglibatan Amanah.
 
"Saya selalu sebut sejarah tidak pernah berbohong. Sejarah membuktikan bahawa 2008, Selangor kita menang atas tiket PAS, PKR dan DAP. 
 
"Begitu juga 2013, kita menang atas tiket PAS, DAP dan PKR. Amanah belum pun wujud masa itu, parti itu baru ditubuhkan tahun lepas sahaja," katanya lagi.
 
PAS sebelum ini acap kali menegaskan bahawa parti itu tidak akan mengorbankan kerusi yang ditandingi mereka terutamanya kerusi tradisi kepada Amanah.
 
Sebaliknya meminta DAP dan PKR menyerahkan kerusi mereka, kerana Amanah kini telah menjadi rakan komponen baru dalam PH. 
 
Sebelum ini ADUN Hulu Klang Saari Sungib mempersoalkan isu pentadbiran Azmin di Selangor yang masih mengekalkan tiga exco PAS dalam pentadbirannya sedangkan Pakatan PR sudah lama terkubur.
 
Saari yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Selangor sebelum ini menegaskan PKR perlu meninggalkan PAS berikutan hubungan PKR, DAP dan Amanah bersama parti itu tidak lagi boleh diperbaiki.
 
"Saari Sungib kena faham dia menang atas tiket PAS dan bukannya Amanah, itu dia kena ingat. Tidak timbul masalah PAS keluar, kita masih lagi dalam Pakatan Rakyat (PR) di Selangor. Itu tidak timbul masalah," jelas Rani kepada kenyataan Saari.
 
Kenyataan Saari mendapat reaksi segera Azmin yang menegurnya adakah beliau ingin menjadi pengemis untuk jawatan Exco.
 
 

Tiada ulasan: