Jumaat, 5 Ogos 2016

PRU14 boleh diadakan seawal November ini, pembangkang diseru bersatu - Mustafa Kamil

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
KOTA DAMANSARA: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh diadakan seawal November ini, selepas kerajaan Persekutuan mengumumkan Bajet 2017, kata bekas Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub.
 
Justeru, parti-parti pembangkang harus segera menyelesaikan pertelingkahan antara mereka dan kembali fokus mengekang kemaraan Umno Barisan Nasional (BN).
 
Ujarnya, Pakatan Harapan termasuk PAS perlu mengakui trend sokongan kini cenderung kepada Umno BN memandangkan parti itu menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
 
"Pasukan pembangkang perlu bergerak pantas, saya setuju seawalnya PRU14 boleh berlaku bulan 11 tahun ini selepas bajet dibentangkan pada bulan 10 sebab 'good facto' (BN) tu ada. 
 
"(Pertelagahan kerusi) memang akan macam tu, namun mereka akan selesaikan dengan cara yang diterima pelbagai pihak dengan pendekatan masing-masing. Jika tak bersedia dengan keadaan demikian, apa bayaran yang perlu dilakukan? Tumbang Pulau Pinang? Kelantan, Selangor? 
 
"Saya tak fikir PKR mahu tumbang di Selangor atau DAP di Pulau Pinang dan PAS di Kelantan. Jadi pilihan yang ada kena duduk bersama dan itu rakyat nak lihat, rakyat akar umbi sedia untuk berubah tetapi yang perlu diusahakan adalah model pertandingan (iaitu) satu lawan satu di peringkat nasional," katanya ketika ditemubual Antarapos.   
 
Prestasi pembangkang setakat ini semakin merudum selepas kalah teruk dalam PRN Sarawak dan dua PRK akibat kegagalan capai kata sepakat membabitkan agihan kerusi antara mereka.
 
Pertelingkahan berpanjangan parti pembangkang semakin parah selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.
 
Tegas Mustaffa lagi, mungkin pembangkang masih tidak menemui 'formula' untuk berdamai sesama mereka, tetapi PAS dan PKR kini dilihat semakin positif untuk bermuafakat dalam mengembalikan kepercayaan rakyat. 
 
"Benar pembangkang belum bersiap sedia untuk bermuafakat sepenuhnya tetapi bunga-bunganya sudah ada jadi mereka (pembangkang) kena pertimbangkan.
 
"Dengan beberapa kenyataan pembangkang, PAS PKR secara terbuka perlunya satu lawan satu dan sedia untuk bermuafakat dan seumpamanya. Saya agak itu adalah mesej kepada BN ada satu perkembangan muafakat baru dalam pembangkang," katanya lagi.
 
Malah beliau mengingatkan BN tidak merasa selesa dengan kemenangan yang diperoleh itu, kerana perkara itu berlaku adalah disebabkan kegagalan pembangkang untuk bersatu padu.            
 
"BN juga merasa selesa dengan kemenangan PRN, PRK tetapi kedua-dua itu berlaku kerana faktor perpecahan yang tuntas dan mendalam dikalangan pembangkang," ujar beliau.
 
 

Tiada ulasan: