Khamis, 4 Ogos 2016

'Patut lantik orang dalam’


Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub


SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad sebagai mengecewakan.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, ini kerana rakyat Malaysia berharap pelantikan itu daripada kalangan anggota kanan badan itu sendiri.

“Saya sebagai bekas Anggota Jawatankuasa Khas SPRM telah dijemput dalam satu majlis makan malam Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed (bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM) baru-baru ini. Antara tokoh yang hadir termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan juga bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

“Dalam ucapan malam itu, jelas hampir semua tokoh ini memberi pandangan bahawa jawatan ketua SPRM itu seharusnya diisi oleh anggota kanan suruhanjaya itu sendiri. Selama ini merekalah yang telah membuktikan komitmen bersungguh-sungguh ke arah membanteras rasuah khususnya dilakukan oleh mereka yang berprofil tinggi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain itu, dakwanya, pelantikan tersebut juga berunsur peribadi kerana isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kesan besar kepada integriti pentadbiran negara.

“Oleh itu saya merasakan pelantikan ‘orang luar’ untuk menerajui SPRM ini adalah memang disengajakan.

"Ini demi memastikan bahawa Najib berada dalam keadaan selesa daripada semua tuduhan yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia hari ini,”  katanya.


Tiada ulasan: