Sabtu, 6 Ogos 2016

Pakatan Harapan bersama warga kota bantah DBKL naikkan caj parkir

MALAYSIA DATELINE
 
 
DBKL1DBKL1


Pemimpin Pakatan Harapan bersama kira-kira 30 warga ibu kota mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan bagi membincangkan isu berkaitan kenaikan caj tempat letak kereta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan pusat perdagangan (CBD).

Pertemuan itu merupakan kelangsungan pertemuan kali pertama pada 19 Julai lalu antara pemimpin Pakatan Harapan bersama pihak pentadbiran Kuala Lumpur bagi menyuarakan rintihan rakyat yang terjejas akibat peningkatan sehingga 150 peratus caj tempat letak kereta di tempat-tempat tumpuan di sekitar sini.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai, antara lain membangkitkan isu pemberian tender pengurusan dan perlaksanaan sistem kutipan baru secara langsung kepada syarikat yang didakwa dimiliki kroni Umno.

Tender itu didakwa telah diberikan melalui Yayasan Wilayah Persekutuan yang juga dikawal sebahagian besar pemimpin dan individu-individu berkepentingan dalam Umno.

Malah Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras mendakwa 65 peratus hasil kutipan caj berkenaan disalurkan kepada YWP, manakala selebihnya diberikan kepada syarikat berkenaan.

“DBKL sebagai kerajaan tempatan mempunyai kekuatan anggota kakitangan hampir 11,000 orang, saya tidak faham kenapa pengurusan meter tempat letak kereta mesti diberi kepada yayasan, dan kemudian yayasan beri pula kepada syarikat operator.

“Jikalau DBKL menggunakan kakitangan mereka dengan sepenuhnya, DBKL dengan sendiri boleh menikmati kutipan sebanyak seratus peratus,” katanya seperti dilaporkan Roketkini.

18 Julai lalu, penduduk Kuala Lumpur dikejutkan dengan kenaikan caj tempat letak kereta sebanyak RM2.00 bagi jam pertama berbanding hanya RM0.80 sebelum itu, melibatkan lokasi-lokasi tumpuan komersial antaranya Bukit Bintang, Bangsar, Bukit Damansara, Taman Tun Dr Ismail, Desa Hartamas dan Solaris Mont Kiara.

Manakala kawasan di luar Pusat Bandar dan Pinggir Bandar masing-masing mengalami kenaikan sebanyak 200 peratus dan 100 peratus berkuatkuasa Isnin lalu.

Bagaimanapun, dua hari selepas pelaksanaan tersebut, pihak DBKL membatalkan kenaikan caj di kawasan perumahan dekat Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) ekoran bantahan keras penduduk.

Mengulas lanjut, Kok Wai berkata, tindakan DBKL tidak memanggil wakil-wakil rakyat dan pihak berkepentingan untuk berbincang mengenai isu berkenaan jelas membelakangi suara rakyat.

Katanya, pihak DBKL juga seolah-olah terlepas pandang faktor sistem pengangkutan awam yang tidak sempurna apabila memberikan alasan untuk menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan yang disediakan kerajaan itu.

Sehubungan itu, beliau mewakili pemimpin Pakatan Harapan menuntut moratorium atau perbincangan menyeluruh bersama pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dilakukan bagi menyelesaikan isu terbabit.

Terdahulu, Kok Wai bersama-sama Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kuala Lumpur, Dr. Hatta Ramli dan beberapa penduduk ibu kota menyerahkan memorandum bantahan kepada Loga Bala.

Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut ketika disoal sama ada DBKL akan mendengar tuntutan itu berkata:

“Mengambil kira bagaimana kerajaan UMNO menguruskan isu-isu besar seperti 1MDB dan sebagainya saya tak fikir mereka akan dengar, tapi kami sebagai wakil rakyat harus terus bangkitkan isu ini supaya mereka rasa prihatin,” katanya.

Tiada ulasan: