Jumaat, 5 Ogos 2016

Menteri Perumahan akui mungkir janji?


OLEH NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM: Tan Sri Noh Omar mengakui tidak menunaikan janji untuk menurunkan peruntukan RM1.8 juta bagi membaik pulih kerosakan pendawaian elektrik dan jeriji penghadang laluan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata Noh menarik semula peruntukan itu selepas Kerajaan Negeri mengumumkan akan melaksanakan kerja pembaikian.

Katanya, ia sekali gus bercanggah dengan janji dibuat Noh yang ketika itu Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor pada Januari 2015.

“Peruntukan itu memang terdapat di dalam Belanjawan Kerajaan Negeri tetapi kalau begitu alasannya senang sekali untuk mencari publisiti.

“(Noh) umum peruntukan untuk kerja yang memang diperuntukkan Kerajaan Negeri dan bila kita laksanakan, (Kerajaan Persekutuan) tarik balik peruntukan dijanjikan,” katanya.
iskandar01Pada masa sama, Iskandar turut mengulangi gesaannya supaya Noh bersikap seperti negarawan dan bukan Ketua Cawangan.

Semalam, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menafikan bahawa Kerajaan Persekutuan memungkiri janji untuk memberi peruntukan RM1.8 juta bagi membaik pulih kerosakan pendawaian dan jeriji penghadang di PPR Kota Damansara sebelum ini.

“Memandangkan Kerajaan Negeri sudah umumkan hendak beri peruntukan khas, kita tangguh peruntukan itu tetapi dalam pada itu Kerajaan Persekutuan turut membelanjakan RM800,000 untuk pembangunan di kawasan PPR berkenaan.

“Bukan kita tidak tunai janji. Soalnya kenapa mereka (Kerajaan Negeri) tidak umum (peruntukan) lebih awal,” katanya dalam sidang media.-AA-

Tiada ulasan: