Khamis, 4 Ogos 2016

Laporan palsu Naib Ketua Pemuda Umno: KPN perlu bertindak jantan

MALAYSIA DATELINE
 
 
Khalid diminta bertindak terhadap aduan palsu Khairul Azwan.Khalid diminta bertindak terhadap aduan palsu Khairul Azwan.


Keputusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menghentikan siasatan terhadap laporan palsu yang dibuat Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun tidak disenangi Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Malah Mahufuz mempersoalkan 'kejantanan' Khalid apabila berhadapan dengan Pemuda Umno.

Sambil menyifatkan Khalid sebagai "tak dak teloq atau bukan jantan bila berdepan dengan budak Khairul Naib Ketua Pemuda Umno yang menjadi suruhan Umno", Mahfuz mengingatkan bahawa ketika Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap Tan Sri Abdul Ghani Patail, Tan Sri Zeti Aziz dan Tan Sri Abu Kassim Mohamed, beliau mendakwa mempunyai bukti yang kukuh.

"Bila disiasat polis, KPN menyatakan laporan Khairul bersifat andaian sahaja. Maknanya laporan palsu yang diberikan kepada polis," katanya.

Bagaimanapun semalam, Khairul dalam satu sidang media mendakwa berjaya menghalang komplot untuk menggulingkan Perdana Menteri dan kerajaan malah mempertahankan laporan yang dibuat yang didakwa mewakili suara hati pemuda Umno.

Tambah Mahfuz, kenyataan umum ini dibuat walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pemuda Umno, Mohd Khairy Jamaludin menyifatkan laporan polis Khairul sebagai tindakan peribadi dan bukan pendirian pemuda Umno.

Sidang media Khairul itu juga, ujarnya jelas menghina KPN dan polis kerana menidakkan kenyataan Khalid bahawa siasatan kes dihenti dan ditutup disebabkan hanya bersifat andaian.

"Saya hairan macam mana KPN boleh duduk diam tanpa apa-apa tindakan terhadap budak Khairul. Apa yang KPN takut pada pemuda Umno?

"Adakah KPN kita bukan seorang jantan bila berdepan dengan pemuda Umno? Apa yang ditakuti KPN - budak Khairul, KJ dan Najib?" soal Mahfuz.

Beliau lantas menyarankan Khalid meletakkan jawatan sebagai KPN jika gagal mengambil sebarang tindakan terhadap Khairul selewat-lewat hujung bulan Ogos ini.

Tiada ulasan: