Khamis, 4 Ogos 2016

Himpunan Baju Merah sedia 'berlawan' dengan BERSIH 5

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Yunos mengalu-alukan penganjuran BERSIH 5 yang dijadual diadakan pada waktu terdekat.
 
Bagaimanapun beliau mengingatkan penganjur perhimpunan tersebut untuk bersedia dengan tindak balas Gerakan Baju Merah yang menyifatkan pihak penganjur sebagai pengkhianat negara dan mencabul sistem demokrasi berparlimen negara ini.
 
"Jika mereka nak buat (himpunan), kita alu-alukan. Malah saya juga mencabar mereka, untuk melihat pada kali ini Himpunan Baju Merah versi 2.0 akan turun di waktu, tempat dan tarikh yang sama.
 
"Apakah faedah dan manfaatnya? Sedikit pun tidak memberi kebaikan kepada negara, selain daripada menyusahkan masyarakat," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Jamal mengulas penganjuran Bersih 5 yang diadakan bagi menuntut tindakan lanjut berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Menurut Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, untuk tidak mengadakan himpunan bukan lagi satu pilihan selepas Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil merampas aset berkaitan dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.
 
Tarikh dan lokasi Bersih 5 bagaimanapun belum diumumkan lagi.
 
Sementara itu Jamal ketika mengulas lanjut, mempersoal keperluan mengadakan perhimpunan itu lagi memandangkan DOJ telah menarik semula perintah sekatan berhubung tuntutan saman sivil bagi membekukan aset yang diperolehi melalui Red Granite Pictures.
 
"Apa yang beliau nyatakan itu sebenarnya rakyat sudah faham dengan kenyataan DOJ, yang menarik semula saman sivil tersebut. Apa yang beliau nak tuntut lagi? Jangan ambil kesempatan dengan isu-isu tersebut untuk menghasut pemikiran rakyat supaya orang turun ke jalanan," ujar Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu lagi.
 
Dengan penarikan semula sekatan DOJ itu, Red Granite dibenarkan beroperasi seperti biasa dan memerintahkan pihak bank untuk terus berurusan dengan syarikat terbabit.
 
DOJ juga bersetuju untuk membebaskan tanpa syarat ke atas rakan kongsi dan vendor Red Granite daripada sebarang tindakkan undang-undang.
 
Dalam pada itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bekata pihaknya akan mempermudahkan rancangan perhimpunan Bersih 5 sekiranya gabungan reformasi pilihan raya itu bertindak mengikut Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2015.
 

Tiada ulasan: