Khamis, 4 Ogos 2016

Harga minyak global jatuh bawah AS$40 setong

MALAYSIAKINI


Harga minyak global menjunam ke bawah AS$40 setong sejak Isnin yang lalu dengan kajian yang dijalankan Reuters menunjukkan pengeluaran komoditi itu dari 13 negara anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) meningkat.

Saingan utama OPEC iaitu Rusia turut meningkatkan bekalan selama tiga bulan berturut-turut, demikian menurut laman oilprice.com.

Pada hari ini, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada di paras AS$39.53 (RM160.52) setong manakala minyak mentah Brent juga turun kepada AS$41.78 (RM169.66) setong.

Iraq telah meningkat pengeluaran minyak pada bulan lepas setelah berjaya menjana manfaat dari perang terhadap tentera militan Negara Islam (IS).

"Bekas pegawai minyak negara Teluk itu mengesahkan pada Isnin berlakunya peningkatan pengeluaran minyak mentah dari 3.175 juta tong pada bulan Jun kepada 3.2 juta tong bulan lalu," kata laman yang sama.
Nigeria, negara yang dilanda serangan puak pemisah turut meningkatkan pengeluarannya, jelasnya.

Sementara itu, Bloomberg melaporkan, Ahli Strategi Komoditi kanan Australia & New Zealand Banking Group Ltd yang berpangkalan di Sydney, Daniel Hynes berkata, pihaknya tidak terkejut dengan penurunan harga minyak itu.

"Penurunan ini bukanlah sesuatu yang tidak dijangka sama sekali, cuma tahap kepantasan kejatuhan itu yang menjadi satu kejutan" ujar Daniel.

Pada Januari tahun ini, harga minyak mentah Brent pernah jatuh di bawah paras AS$28 setong dengan harga terus menjunam berikutan sekatan antarabangsa ke atas Iran ditarik balik.

Ini telah membuka jalan kepada peningkatan eksport dari OPEC di sebalik lebihan bekalan dunia.

Penurunan harga minyak secara jelas memberi kesan kepada prospek pendapatan pengeksport minyak negara selain episod terbaru 1MDB yang boleh menyumbang penurunan tahunan terbesar ringgit seperti tahun lalu sejak tahun 1997.

Tidak lama dahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengakui sektor tenaga di Malaysia memainkan peranan yang penting kerana industri minyak dan gas menyumbang lebih 40 peratus kepada pendapatan negara ini.

Dalam pada itu, seorang penganalisa tempatan berkata, kebergantungan negara terhadap pendapatan minyak dan gak harus dikurangkan sejajar dengan ketidak tentuan semasa mengenai harga minyak mentah global yang sering turun dan naik atas pertimbangan pelbagai faktor di luar kawalan.

"Untuk jangka masa panjang, Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada pendapatan penjualan komoditi berkenaan kerana akan tiba harinya telaga minyak di peringkat tempatan menjadi kering-kontang selain penjualan kenderaan elektrik dan hybrid yang akan mengurangkan permintaan dunia terhadap petrol dan diesel," katanya.

Beberapa hari yang lalu, negara menyaksikan harga diesel dinaikkan sebanyak 10 sen, menjadikannya RM1.70 seliter.

Bagaimanapun, minyak petrol jenis RON97 dan RON97, masing-masing kekal pada harga RM1.75 dan RM2.10 seliter.

Tiada ulasan: