Selasa, 16 Ogos 2016

Gaji doktor hospital kerajaan rendah

Gaji doktor hospital kerajaan rendah
Gambar hiasan
 

GAJI rendah di hospital kerajaan menjadi punca kenapa ramai doktor terpaksa menjalankan kerja sambilan selepas waktu pejabat.

Seorang pakar doktor ketika memberitahu Sin Chew Jit Poh, doktor muda di hospital kerajaan sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di universiti, beliau akan dikategorikan ke dalam Gred 41 dengan gaji bulanan yang diperolehnya adalah lebih kurang RM3,000 sahaja.

"Gaji beliau mungkin akan dinaikkan sehingga RM8,000 sekiranya beliau melanjutkan pengajian dengan memperoleh sijil kepakaran dalam bidang tertentu.

"Bagi seorang doktor muda, dengan pendapatan bulanan lebih kurang RM3,000, ia sebenarnya adalah jumlah yang amat kecil. Oleh itu, tidak mustahillah kita dapati ramai doktor di hospital kerajaan sanggup mencari kerja sambilan di klinik semata-mata untuk memperoleh pendapatan lebih," katanya. 

Menurutnya, seseorang doktor hospital kerajaan adalah dibenarkan melakukan kerja sambilan di klinik swasta selepas waktu pejabat, bagaimanapun beliau perlu mendapat kelulusan ketuanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas seorang doktor yang bertugas di klinik gigi di Bangsar, Kuala Lumpur, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur baru-baru ini, atas tuduhan menyebabkan kematian menantu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,

Pakar obstetrik dan ginekologi, Dr Ting Teck Chin, 36, mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat ke atas Syed Alman Zain Syed Ali selepas mangsa didapati tidak sedarkan diri ketika membuat rawatan gusi di klinik tersebut.

Akhbar ini melaporkan, secara umum ramai mengetahui ramai doktor di hospital kerajaan melakukan kerja sambilan di klinik swasta, cuma jarang apabila adanya pakar sakit puan yang melakukan kerja sambilan di klinik gigi seperti dilakukan oleh Dr Ting.

"Sebelum dibolehkan kerja sambilan di klinik swasta, seseorang doktor yang masih berkhidmat di hospital kerajaan mestilah membuat permohonan kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

"Selain itu, syarat utama yang diperlukan untuk kerja sambilan di klinik swasta ialah seseorang doktor itu mestilah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun di hospital kerajaan," tulis akhbar ini.

Bukan isyarat kira duit

Pici Parnia, 14, dan Parcelia Renyelia, 12, rasa kesal dengan kritikan dilempar terhadap isyarat tangan yang ditunjuk kakak mereka iaitu penerjun negara, Pandelela Rinong Pamg ketika bertanding di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, lapor Guang Ming Daily.

Menurut mereka, isyarat tangan yang ditunjukkan Pandelela di hadapan kamera televisyen itu sebenarnya adalah tanda cinta, dan bukan isyarat 'kira duit' seperti yang didakwa oleh segelintir orang.

"Kenapa mereka tidak mahu raikan kemenangan Pandelela, sebaliknya sengaja nak gembar-gemburkan isyarat tangan itu? Mereka yang komen di laman sosial sepatutnya memberikan galakan kepada kakak kami. Kami rasa sedih kerana ramai orang telah salah faham mengenai isyarat tangan itu," kata mereka kepada akhbar itu.

Pici dan Parcelia mengharapkan tumpuan kakak mereka tidak terganggu mengenai isu tersebut dan mendoakan kilauan emas menjadi milik Malaysia apabila Pandelela akan bertanding dalam 10 meter papan anjal individu esok.

Kampung Cina terus dibantu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan telah meluluskan 540 pelbagai rancangan pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM42.3 juta kepada kampung-kampung Cina di seluruh negara sepanjang tahun ini, tulis Sin Chew Jit Poh.

Selain itu, dalam tempoh sama, kerajaan juga lulus permohonan membaiki 941 rumah milik golongan miskin di kampung Cina.

Ketika bercakap dalam satu perjumpaan di Segamat, Johor, Ka Siong berkata, buat masa ini, terdapat sebanyak 613 kampung Cina di seluruh negara dan kebanyakan rancangan pembangunan di situ telah pun diluluskan oleh kerajaan.

Beliau turut berharap ketua-ketua kampung Cina terus bekerjasama dengan bahagian-bahagian MCA dengan memberikan permohonan bantuan pembangunan yang lengkap sekiranya kawasan kampung mereka memerlukan bantuan dan peruntukan.


Tiada ulasan: