Jumaat, 5 Ogos 2016

BN Selangor didakwa salah guna dewan orang ramai


OLEH LIZAWATI MADFA


SELAYANG: Parti komponen pembangkang Selangor didakwa menduduki lapan dewan orang ramai di Rawang secara haram dengan menjadikannya bangunan atau cawangan parti politik masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, berkata semakan menunjukkan kesemua dewan berkenaan tidak memperoleh kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) berkaitan.

Katanya, rundingan secara budi bicara dan notis juga pernah dikeluarkan, namun tiada kerjasama parti politik berkenaan.

“Kita terpaksa mengambil tindakan sesuai mengikut undang-undang dan secara profesional bagi mengembalikan dewan untuk kegunaan orang ramai.

“Jadi, tidak timbul isu mengambil menggunakan cara tidak sesuai kerana ini sememangnya didirikan atas tanah kerajaan.

“Jika mengikut Kanun Tanah Negara sekalipun, apa-apa bangunan atas tanah kerajaan itu milik kerajaan dan harus ditadbir agensi kerajaan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

DSC_6836 kecil

Turut serta, Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suliman Abd Rahman.

Dewan yang dimaksudkan adalah Dewan MCA Desa Kuala Garing, Dewan MIC Kuala Garing, Dewan MCA Bukit Rawang Jaya, Dewan MCA Bandar Country Homes, Dewan MCA Taman Sri Hijau, Dewan Perpustakaan Kampung Sungai Terentang, Dewan MCA Kampung Lee Kim Sai dan Dewan Umno Bandar Country Homes.

Ean Yong berkata, kebanyakan dewan berkenaan berusia lebih 10 tahun dan dibina sebelum 2008.
“Dahulu mungkin mereka boleh buat apa sahaja mereka suka sebagai kerajaan, namun di bawah Pakatan kita perlu ikut undang-undang,” katanya.-AA-

Tiada ulasan: