Rabu, 26 Ogos 2015

Tun M nasihat Najib berhenti perbodoh rakyat

 
Sumbangan RM2.6 bilion terlalu besar untuk digunakan untuk pilihanraya kecuali ia digunakan untuk merasuah pengundi untuk menyokong Najib.


mahathir-najib


PETALING JAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan penyokongnya dinasihat supaya berhenti memperbodohkan rakyat berhubung isu dana berjumlah RM2.6 bilion.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui berkenaan sumbangan dana itu dan tidak percaya ia sumbangan peribadi kepada Perdana Menteri yang akan digunakan untuk tujuan pilihan raya.

“Rakyat Malaysia tidak akan percaya calon dari kuasa tertinggi kerajaan dinamakan sebagai calon daripada negara lain.

“Apa yang akan menjadi tanggungjawab kepada penyokongnya. Adakah dia akan berkhidmat untuk rakyat Malaysia atau beberapa negara asing?,” soalnya menerusi entri terbarunya di blog chedet.cc.

Dr. Mahathir turut mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa tidak ada orang yang akan percaya sumbangan dana yang didermakan kepada Perdana Menteri itu atas apa jua sebab.

“Penjelasan bahawa ia diberi kerana pendirian Malaysia terhadap kumpulan militan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) adalah tidak masuk akal kerana IS hanya menunjukkan tanda sebagai pengganas pada tahun 2014 manakala wang itu masuk pada tahun 2013 atau sebelum.

“Mengatakan ia adalah disebabkan kesederhanaan Malaysia dalam Islam adalah tidak masuk akal kerana Malaysia tidak pernah melampau dalam amalan Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut berpendapat sumbangan dana RM2.6 bilion itu adalah terlalu besar untuk keperluan pilihan raya di negara ini.

“Kecuali jika ia adalah untuk merasuah pengundi Malaysia. Mengapa seseorang mahu merasuah pengundi Malaysia supaya Najib dapat menang.

“Rakyat Malaysia telah menyokong BN tanpa perlu dibayar rasuah besar oleh sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi oleh orang asing,” ujarnya.

Tiada ulasan: