Isnin, 10 Ogos 2015

Tukar pegawai SPRM tidak kena masa

Tukar pegawai SPRM tidak kena masa
Mas Ermieyati bersama perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri melaungkan kata-kata keramat ‘Hidup Umno’ sebelum memulakan mesyuarat perwakilan, semalam.


IPOH - Puteri Umno menganggap pertukaran dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri dibuat pada masa yang tidak sesuai sehingga menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, walaupun tindakan itu bertujuan menyiasat kebocoran maklumat dalam SPRM, insiden tersebut menyebabkan banyak spekulasi khususnya melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut telah berlaku dan berharap apa sahaja tindakan selepas ini perlu ditangani dengan bijak supaya tidak memberi kesan terhadap kepimpinan parti dan negara.

“Bagi saya, pihak yang mengarahkan tindakan berkenaan telah membuat siasatan teliti, malah jika mengimbau sejarah terdahulu, ada juga di kalangan anggota SPRM yang pernah didakwa kerana penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

“Dalam situasi hari ini, saya harap semua pihak bukan sahaja di peringkat tertinggi termasuk di bahagian-bahagian tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan bertentangan kehendak parti yang akhirnya akan merugikan Umno,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Ipoh Timur, semalam.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai pengganti Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), beliau berkata, penggantian Pengerusi PAC perlu diusulkan oleh perdana menteri dalam sidang dewan, manakala penggantian anggota PAC pula diusulkan melalui jawatankuasa pemilihan.

“Pada saya tidak perlu adakan penggantian buat masa ini tetapi sekiranya telah difikirkan itu yang sesuai dan Perdana Menteri pun bersetuju, saya tidak menolak,” katanya.


Tiada ulasan: