KUALA LUMPUR, Mana-mana Ahli Parlimen yang dikatakan berkomplot menandatangani akuan bersumpah menggulingkan kerajaan melalui undi tidak percaya di Parlimen adalah tidak menyalahi mana-mana Akta Kesalahan Jenayah di negara ini.

Walaupun nama 20 Ahli Parlimen BN dan empat laporan polis telahpun dibuat, ia tidak membolehkan pihak polis melakukan siasatan atau mendakwa mana-mana pihak.

Peguam, Latheefa Koya berkata tiada kesalahan bagi Ahli Parlimen untuk memberi sokongan dalam undi tidak percaya untuk menukar Perdana Menteri kerana ia dibenarkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini bermakna pihak polis tiada kuasa dalam mana-mana peruntukan undang-undang jenayah untuk mendakwa Ahli Parlimen yang terbabit jika benar mereka bersekongkol dengan Ahli Parlimen Pembangkang untuk menandatangani akuan bersumpah tersebut.

“Jika mahu disiasat di bawah akta mana? Tidak jelas apa tuduhan mereka.

“Perdana Menteri bukan Raja yang tidak boleh ditukar. Perdana Menteri boleh ditukar jika beliau hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Latheefa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menyiasat mereka yang didakwa terlibat dengan komplot menggulingkan Perdana Menteri atas kesalahan memudaratkan demokrasi berparlimen di Malaysia melalui Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Ujar Latheefa, apapun peruntukan undang-undang sama ada di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana memudaratkan demokrasi berparlimen tidak terpakai dalam isu ini.

“Tak boleh. Takda kaitan,” ujarnya.

Sabtu lalu, ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ampang, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan didalangi oleh seorang tokoh UMNO yang juga pemimpin BN.

Beliau berkata rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada Anggota Parlimen pembangkang serta menarik anggota Parlimen BN menyokong gerakan mereka untuk menumbangkan kerajaan melalui ‘jalan belakang’.