Ahad, 9 Ogos 2015

SPRM sambut baik polis tangguh siasatan

 
Keputusan itu dijangka membantu mengatasi suasana tidak senang yang wujud antara SPRM dan pihak polis


Mustafar-Ali_khalid_sprm_600_2



PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memutuskan pihaknya menangguhkan sementara siasatan ke atas badan itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, keputusan itu dijangka membantu mengatasi suasana tidak senang yang wujud antara SPRM dan pihak polis.

“SPRM ingin jelaskan bahawa suruhanjaya ini komited untuk menjalankan tugas membanteras jenayah rasuah secara bebas, telus dan profesional.

“Melihat kepada suasana sekarang, SPRM meminta kepada semua pihak supaya tidak menyampai dan menyebar luas maklumat-maklumat yang tidak sahih serta andaian negatif yang boleh mengelirukan, malah boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat,” katanya.

Siasatan ke atas badan itu dibuat bagi menyiasat kebocoran maklumat yang disiar melalui portal Sarawak Report.

Dalam kenyataan yang sama Mustafar turut menjelaskan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah selamat menjalani pembedahan kerana masalah tulang belakang di sebuah hospital di ibu negara pada Jumaat lalu.

Tiada ulasan: