Ahad, 9 Ogos 2015

SPRM larang hasrat berhimpun tanda sokongan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa semua pihak supaya tidak meneruskan hasrat untuk berkumpul di pejabat badan itu di seluruh negara bagi menyatakan sokongan.
 
Gesaan itu dilihat mempunyai kaitan dengan arahan pertukaran serta merta dua pegawai kanannya termasuk kerana menyambut kehadiran wakil pemimpin pembangkang yang dianggap tidak wajar dilakukan seorang penjawat awam.
 
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali, perhimpunan di pejabat SPRM dikhuatiri akan mewujudkan suasana tidak selesa kepada orang ramai.
 
"SPRM mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pemimpin kerajaan, parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat yang telah memberikan sokongan moral secara langsung atau tidak langsung.
 
"Pada pandangan SPRM memadai dengan sokongan yang telah diperlihatkan setakat ini dan memohon rakyat terus memberi kerjasama dengan SPRM dalam memerangi jenayah rasuah," katanya.
 
Jumaat lalu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa serta merta.
 
Bahri dan Rohaizad sebelum ini antara pegawai yang menyiasat akaun syarikat SRC International Sdn Bhd, sebuah entiti yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Sebelum ini Bahri menerusi kenyataan menegaskan akan mencari dalang yang mengarahkan penahanan pegawai SPRM yang terlibat dalam penyiasatan melibatkan SRC International Sdn. Bhd.
 
Katanya, pihaknya tidak ada masa berpolitik tetapi akan melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan dan diharapkan oleh rakyat.
 
Manakala Rohaizad pula  menyambut baik sokongan yang diberikan oleh pemimpin pembangkang yang hadir beramai-ramai ke Ibu Pejabat SPRM minggu lalu bagi menyatakan sokongan kepada kakitangan agensi penguatkuasaan berkenaan.
 
 

Tiada ulasan: