Sabtu, 8 Ogos 2015

Shukri Abdull mungkin ditukar untuk ‘senyapkan’ SPRM

 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM beri amaran jangan ganggu badan itu dalam usahanya memerangi rasuah termasuk kepada Najib.


Bahasa,-Shahbudin,-Najib-Razak,-Shukri-Abdul,-SPRM,-JPM


PETALING JAYA: Tindakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Shukri Abdull yang menuntut supaya dua pegawainya yang ditukar ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) dikembalikan dilihat satu amaran keras kepada kerajaan.

Malah, Syukri juga umpama sudah mengisytiharkan ‘perang’ terhadap sesiapa yang cuba mengganggu badan itu dalam memerangi rasuah termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Pandangan itu dibuat bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin melalui entri terbaru dalam blognya yang memuji keberanian orang kuat SPRM itu.

Beliau dilihat seperti mengisytiharkan “perang” terhadap sesiapa yang cuba mengganggu tugas badan itu dalam memerangi rasuah.

“…. (Malah tindakan itu) suatu keberanian yang terpuji dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” tulisnya di shahbudindotcom.blogspot.com.

Mengulas lanjut, Shahbudin berkata, tumpuan pastinya akan terarah kepada reaksi Perdana Menteri dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai individu paling berjawatan di JPM untuk membalas tuntutan Shukri.

“Mungkinkah hanya Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa atau Jabatan Perkhidmatan Awam saja yang akan menjawabnya nanti?.

“Atau semuanya akan diam saja? Apakah sehari dua nanti Shukri pula akan menjadi mangsa tindakan disiplin atau pertukaran seterusnya?,” soalnya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan medianya memaklumkan, pertukaran dua pegawai itu dibuat selepas beberapa hari mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen pembangkang di Ibu Pejabat SPRM.

Dua individu berkenaan ialah, Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Rohaizad Yaakob.

Tambah Shahbudin, pelbagai persoalan mula timbul apabila tugas SPRM digangu, malah ada yang mendakwa campur tangan itu dibuat apabila kedudukan Najib masih tidak selamat meskipun sebahagian besar daripada RM2.6 bilion yang diterimanya daripada luar negara itu sudah diisytiharkan sebagai derma.

“Di mata umum, kiranya pertukaran pegawai SPRM ini dilakukan dengan pengetahuan Najib, ia jelas memberi makna beliau sedang cuba mengelakkan kesalahannya daripada dikesan serta dibuktikan,” katanya.

Tiada ulasan: