Sabtu, 15 Ogos 2015

Shahrir mahu siasatan PAC terhadap 1MDB disambung segera

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
JOHOR BAHRU: Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu disambung segera kerana berhubungkait dengan imej dan integriti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno.
 
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, penangguhan terhadap siasatan itu hanya akan memberi imej negatif kepada kerajaan.
 
"Dalam kalangan ahli Parlimen sendiri, kita berpendapat siasatan berkenaan perlu diteruskan segera kerana mendapat teguran daripada pelbagai pihak, khususnya masyarakat umum.
 
"Selagi siasatan ke atasnya belum selesai, masyarakat hanya akan membuat keputusan berdasarkan andaian dan khabar angin semata-mata," katanya dalam Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Johor Bahru di sini hari ini.
 
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman mengumumkan pertukaran dan pelantikan anggota Jawatankuasa Pemilih akan dibuat pada hari pertama sidang Parlimen pada 19 Oktober ini. 
 
Beliau berkata tindakan itu dibuat selepas mengambil kira pertukaran jawatan Ketua Pembangkang dan penyusunan semula Jemaah Menteri pada 29 Julai lepas. 
 
Azalina menegaskan kerajaan sama sekali tidak menangguhkan prosiding siasatan terhadap 1MDB oleh PAC dengan sengaja. 
 
Katanya kerajaan tidak boleh tergesa-gesa dalam soal pelantikan anggota Jawatankuasa Pemilih yang merupakan jawatankuasa paling penting sebelum mana-mana jawatankuasa lain dapat dilantik termasuk PAC dalam konteks ini. 
 
Siasatan PAC terhadap 1MDB ditangguhkan berikutan bekas Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.
 
Sementara itu tiga anggota lain PAC iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga telah dilantik sebagai timbalan menteri dan Datuk Wilfred Madius Tangau sebagai menteri.
 
 

Tiada ulasan: