PETALING JAYA, Seksyen 124B Kanun Keseksaan mempunyai definisi luas, jadi ia terbuka kepada pelbagai interpretasi dan boleh mengundang penyalahgunaan.

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, walaupun berada dalam satu sidang media, di mana sekumpulan individu mengumumkan pendirian mereka berhubung satu perhimpunan, ia masih boleh dianggap ‘menjejaskan demokrasi berparlimen.’

“Jika anda lihat pada definisi peruntukan, tiada apa yang anda tidak boleh lakukan dan dianggap menjejaskan demokrasi berparlimen.

“Kanun Keseksaan wujud untuk membasmi jenayah dan undang-undang memberi ruang kepada mahkamah untuk berdepan jenayah, namun di sini, penindasan boleh berlaku.

“Anda ada senario di mana polis menahan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat dakwaan dibangkitkan rakyat. Adakah ini tujuan undang-undang digubal?” soalnya pada forum “Seksyen 124B, penghinaan kepada demokrasi berparlimen” anjuran DAP, pada Khamis malam.

Ahli Parlimen Puchong itu mempersoalkan jika ini adalah maksud Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa undang-undang berkenaan tidak akan digunakan terhadap ahli-ahli politik?

“Mahkamah perlu mengehadkan definisi undang-undang itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menyifatkan ia sebagai ‘peruntukan raksasa’.

“Undang-undang dilihat digunakan untuk menutup mulut mereka yang mahukan perubahan, ia menjadi peruntukan undang-undang raksasa yang digunakan terhadap sebarang bentuk kritikan ke atas kerajaan,” katanya.

Pakar undang-undang DAP, Dr Abdul Aziz Bari pula berkata, mereka yang disiasat di bawah peruntukan undang-undang itu, sebenarnya berusaha mewujudkan demokrasi di negara ini.

“Ia adalah kerja pembangkang untuk memantau kerajaan, tetapi kami diancam dengan undang-undang sedemikian.

“Sekarang, kami lihat institusi seperti SPRM dan Bank Negara disiasat di bawah peruntukan undang-undang itu, disebabkan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ini adalah strategi untuk menakutkan rakyat. Tetapi, saya tidak lihat bagaimana mereka boleh menghadapkan orang-orang ini ke mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, peguam dan aktivis, Syahredzan Johan berkata, Seksyen 124B memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun yang menjadikan ia kesalahan serius.

“Undang-undang perlulah spesifik dan jelas, tetapi sebaliknya ia meluas, inilah sebabnya ia disalahgunakan.

“Kerajaan kata mereka yakin kepada kita, tetapi kami tidak akan menyalahgunakan undang-undang dan dengan Akta Pencegahan Keganasan (POTA), mereka kata hanya akan gunakan ke atas pengganas, tetapi kami telah lihat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kami ada masalah percaya kepada kerajaan,” katanya.

Beliau juga yakin kerajaan akan meluluskan satu undang-undang di Parlimen untuk mengawal selia media sosial, pada Oktober ini.

“Mereka cuba penjarakan minda kita sekarang. Rakyat tidak boleh berhenti berjuang untuk sekatan-sekatan sedemikian dan jika kita mahu membentuk Malaysia yang lebih baik, kita perlu tabah,” katanya.

Tambahnya, penggunaan undang-undang itu untuk kes seperti kenyataan yang dibuat dalam sidang media bertentangan dengan perlembagaan dan boleh dicabar di mahkamah.

“Ini bergantung kepada kes dan kami akan cabarnya, jika perlu,” katanya.

Turut hadir adalah Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya, Prof Azmi Sharom, peguam, Datuk Ambiga Sreenavasan dan ahli Gerakan Harapan Baru, Mohamed Hanipa Maidin.