KLANG,Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak risau menerima nasib yang sama seperti Tan sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dari Kabinet baru-baru ini.

Khairy berkata demikian susulan kelantangan beliau sebelum ini yang meminta supaya jangan menakutkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menjalankan siasatan.

“Saya tidak risau sebab saya percaya kita mesti berpegang teguh dengan pendirian apa yang betul.

“Kita mesti berdiri teguh dengan apa yang kita rasa betul untuk melindungi institusi dan bercakap tanpa rasa takut dan gentar,” kata beliau selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Klang di sini.

Menurut Khairy, apa yang dilakukan beliau selari dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak mahu ada ‘Yes Man’ disekelilingnya.

“Tadi Perdana Menteri sendiri dalam ucapannya tidak mahu ‘yes man’ disekelilingnya bermaksud beliau hargai sesiapa yang membawa pendapat berbeza.

“Jadi ini yang sedang saya lakukan. Saya cuba untuk yakinkan beliau ini adalah pendirian peribadi saya berkenaan isu tersebut dan ini yang saya percaya.

“Isu ini menyebabkan kerisauan bukan sahaja kepada anggota SPRM malah kepada penjawat awam yang lain juga menyatakan kerisauan terhadap persepsi penjawat awam diganggu tugas,” katanya.