Khamis, 6 Ogos 2015

'Saya tak kenal erti putus asa'


'Saya tak kenal erti putus asa'
Salimi membantu pekerjanya menyiapkan kerja-kerja pembungkusan benih ikan untuk diedarkan kepada pembekal dan pengusaha ikan. Gambar kecil: Salimi


FELDA PURUN - Bukan mudah untuk mencapai kejayaan jika tiada kesungguhan, malah bagi agropreneur muda, Salimi Mohd Nor, 36, dia langsung tidak mahu kenal erti putus asa dan sentiasa mencari jalan untuk mempertingkatkan pencapaiannya.

Memulakan ternakan ikan dengan dua unit kolam kecil bermodalkan RM3,000 dan membina beberapa buah kolam simen pula bagi proses pembenihan anak ikan di dalam rumahnya.

Katanya, pada awal penglibatan, dia tidak memperoleh pinjaman dari mana-mana bank atau agensi berkaitan, dan sedikit sebanyak memberi tekanan untuk meneruskan projek ternakan ikan ini.

“Awalnya, memang susah. Dengan modal kecil, saya guna jentera untuk bersih dan korek kolam di tapak projek. Tapi, selepas itu, projek tak jalan... saya ambil keputusan gali sendiri kolam agar lebih dalam dengan menggunakan cangkul. Saya tak nak kenal erti putus asa.

“Pada ketika itu, hanya saya seorang je yang buat semua tu. Tak siapa yang bantu. Malah, ada yang menegur tindakan saya itu membazir masa dan tenaga. Tapi, saya yakin saya mampu buat,” katanya.

Dalam tempoh tujuh tahun ini, Salimi berjaya memiliki 13 kolam di Felda Purun dan 12 kolam di Kertau yang mampu menghasilkan antara dua hingga empat juta ikan bergantung kepada saiz kolam dan cuaca semasa proses pembiakan.

Katanya, dia kini giat melakukan pembenihan anak ikan serta telur ikan patin dan tilapia memandangkan permintaan yang meningkat dari masa ke semasa.

“Saya bukan saja membekalkan ikan dan anak ikan, tapi telur ikan pun saya jual. Setakat ini, melalui teknologi yang saya gunakan mampu menghasilkan anak ikan, malah tapak projek saya turut dilawati kakitangan dari Jabatan Perikanan bagi melihat dan mengetahui kaedah itu.

“Saya ambil inisiatif ke negara Thailand bagi mempelajari kaedah itu. Saya memandu ke Bangkok bersama keluarga dan seharian berada di tapak projek perikanan di Bangkok demi ingin mengetahui teknologi itu,” katanya.

Sehingga kini, beliau mengeluarkan modal hampir RM400,000 dan mempunyai tujuh pekerja.

Difahamkan, beliau menerima Anugerah Usahawan Belia Felda Malaysia (Peringkat Pahang) 2014, sekali gus berjaya memperoleh Anugerah Usahawan Felda Malaysua (Piala Perdana Agro Prenuer Muda) Peringkat Kebangsaan 2014.

Solimi memberitahu, ternakan ikan di kawasan tanah rancangan Felda masih boleh diperluaskan memandangkan masih banyak tanah terbiar.

“Mungkin sukar memulakan projek bersendirian. Tapi jika dilakukan berkelompok, ia dapat mengurangkan jumlah modal yang perlu dikeluarkan setiap individu," katanya.


Tiada ulasan: