Selasa, 11 Ogos 2015

Rundingan turun kuasa beberapa jabatan bermula

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak sudah memulakan perbincangan untuk memberi lebih 'pemerkasaan' kepada beberapa jabatan kerajaan negeri, dengan menurunkan kuasa jabatan-jabatan tertentu kerajaan pusat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia susulan arahan beliau kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa untuk mula berunding dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani mengenai perkara itu baru-baru ini.

Menurutnya hasil rundingan mengenai perkara itu kelak akan diumumkan oleh beliau sendiri dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, apabila ia dimuktamadkan.

"Banyak pertindihan (kuasa) boleh dielak, banyak sumber yang boleh diselamatkan kalau kita boleh perkemas kuasa antara (jabatan) kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak," katanya semasa berucap di majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Padang Merdeka di Kuching malam ini.

Beliau berkata inilah untungnya rakyat Sarawak kerana memiliki sebuah kerajaan negeri yang sealiran dengan kerajaan pusat, kerana banyak lagi kemajuan boleh diharapkan hasil keakraban ini.

Najib berkata apabila rakyat Sarawak mengambil keputusan untuk merdeka dengan bersama-sama membentuk Malaysia pada tahun 1963, mereka jelas faham mengenai kepentingan untuk menganggotai sebuah 'keluarga besar'.

Beliau berkata dengan menganggotai sebuah keluarga besar, ini bermakna seluruh kekuatan kerajaan persekutuan akan digunakan untuk mempertahankan kepentingan dan keselamatan rakyat Sarawak.

Katanya itulah sebabnya apabila ada segelintir rakyat yang menampilkan idea kononnya untuk membawa Sarawak keluar Malaysia, beliau menganggap ia sebagai sesuatu yang tidak logik, atau langsung "tidak masuk akal".

"Saya setuju dengan kata-kata ketua menteri Sarawak sebentar tadi, 'it is a stupid talk', sebab keputusan keramat Sarawak untuk merdeka dalam Malaysia membawa manfaat penuh kepada seluruh rakyat," katanya.

Perdana menteri bersama ketua menteri dan menteri-menteri kabinet persekutuan serta negeri kemudiannya meninggalkan majlis selepas upacara menaikkan bendera sebagai simbolik acara sambutan, namun lebih 10,000 pengunjung terus berada di Padang Merdeka untuk menikmati banyak lagi acara yang disediakan bagi memeriahkan sambutan.

Acara persembahan pentas dijangka berlarutan sehingga ke tengah malam dan akan diakhiri dengan pertunjukan bunga api. - Bernama
 
 
 

Tiada ulasan: