Jumaat, 14 Ogos 2015

Ringgit jatuh: Berhenti salahkan pihak lain!

Azmin Ali
Azmin Ali


SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berhenti mengalihkan isu sebenar berhubung faktor kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika dengan menyalahkan kelembapan pasaran mata wang di rantau Asia pada tahun ini.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menegaskan, sikap Najib menyalahkan spekulasi politik yang keterlaluan menyebabkan ketidaktentuan dalam pentadbiran negara juga dilihat secara jelas menyalahkan pihak lain ekoran penyusutan ringgit dan bukan dirinya sendiri.

“Sentimen tidak menentu itu lebih dikaitkan dengan skandal kewangan yang mencengkam negara berhubung dana RM2.6 bilion yang dipindahkan secara rahsia ke akaun peribadinya, sebagaimana besarnya kemelut kewangan 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, kemunculan pakatan sulit dan konspirasi tertinggi didakwa telah mengganggu pasukan petugas khas 1MDB dan menyebabkan pasukan tersebut 'tiba-tiba lenyap'.

“Ia juga membawa kepada pembubaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan halangan terang-terangan ke atas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap siasatan mereka.

“Tindakan itu menjadi faktor utama menularnya persepsi negatif terhadap kepimpinan negara,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mendesak Putrajaya supaya berhenti mengganggu Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz daripada melakukan tugasnya sebagai Gabenor Bank Negara.

“Kita mengutuk tindakan itu termasuk apa-apa kuasa yang di bawah keadaan adalah sama seperti campur tangan dalam Bank Negara Malaysia ke atas siasatan yang masih berterusan,” katanya lagi.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Zeti kembali, umum BNM selesai siasat 1MDB ]

[ ARTIKEL BERKAITAN:  BNM tidak akan tambat ringgit, kawal modal ]


Tiada ulasan: