Jumaat, 21 Ogos 2015

Ramlang bukan 'Ustaz Pampers'

MALAYSIAKINI





Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan yang hadir di majlis sumpah laknat Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan pada Ogos 2005 lalu kini mendakwa menjadi mangsa fitnah.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ramlang Porigi berkata, ada pihak tertentu menyamar sebagai dirinya untuk menjual lampin pakai buang secara dalam talian.

Pihak itu, katanya, menggunakan akaun Ustaz Pampers untuk menjual lampin pakai buang di Facebook.

Individu itu juga, kata Ramlang, dipercayai menipu orang ramai dengan mengambil bayaran tetapi tidak menyerahkan lampin pakai buang seperti dijanjikan.

“Lewat petang semalam saya dimaklumkan oleh rakan, ada orang guna gambar saya dengan dan menamakan dirinya sebagai Ustaz Pampers.

“Saya tak pernah jual pampers (lampin pakai buang) atau menggunakan nama Ustaz Pampers.

"Saya harap orang ramai tidak tertipu," katanya.

Ketika Saiful Bukhari membacakan sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan mendakwa dia diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramlang adalah salah seorang pegawai masjid yang hadir.

Ramlang muncul di pentas pembangkang ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008 menyebabkan beliau dipecat.

Ramlang berkata, pihak yang menjadi mangsa penipuan itu dinasihat segera membuat laporan kepada polis bagi membolehkan siasatan dibuat.

Beliau sendiri membuat aduan di Balai Polis Salak Selatan Baru, Cheras petang semalam bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil sekali gus membersihkan namanya.

“Saya harap pihak yang terlibat segera hentikan perbuatan tersebut, berhenti menggunakan gambar saya,” katanya lagi.

Semakan Malaysiakini mendapati akaun Ustaz Pampers di Facebook gagal dtemui sejak jam 11.30 pagi tadi.


Tiada ulasan: