Khamis, 20 Ogos 2015

'Saya Harap Ini Perkahwinan Terakhir' - Abby Abadi

RAKYATNEWS




KUALA LUMPUR  - Bekas anggota kumpulan Elite, Abby Abadi akhirnya bersatu kembali dalam ikatan perkahwinan ketiganya bersama Muhammad Faizal Zakaria, 41, semalam.

Berkongsi pengalaman bersama wartawan akhbar Harakah itu, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, berkata, beliau tidak pernah berputus asa dalam mencari pasangan malah tidak mengambil tempoh lama untuk mengambil keputusan bernikah dengan Faizal bagi mengelakkan fitnah.

“Biarpun sudah mengenali suami sejak 2012 tetapi kami tidak rapat dan hanya kembali berhubung akhir tahun lalu.

“Bagaimanapun kami membuat keputusan untuk segera berkahwin kerana ingin mengelak fitnah dan Alhamdulillah majlis pada hari ini (Jumaat) berjalan lancar.

“Paling penting dia terima saya seadanya dan seperti pasangan lain saya berharap ini adalah perkahwinan terakhir dan akan berkekalan sehingga ke syurga,” katanya kepada pemberita selepas selesai majlis akad nikahnya yang diadakan di Masjid As-Sobirin Keramat di sini, Jumaat.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh Imam Masjid As-Sobirin, Osman Daud dan telah diwalikan bapa Abby sendiri, Abdul Manan Tadin.

Abby menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan senaskah Al Quran sebagai pengganti wang hantaran.

Majlis itu dihadiri lebih 200 tetamu termasuk dua rakan anggota kumpulan Elite, Azza dan Sasha Saidin.

Pasangan ini bakal diraikan dalam majlis yang bakal diadakan Taman Tasik Titiwangsa pada Ahad ini.

Abby sebelum ini pernah berkahwin dengan aktor, Norman Hakim sebelum bercerai pada tahun 2008.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10, dan Maria Danisha Hakim yang berusia tujuh tahun.

Bekas pelakon utama drama Gerak Khas ini kemudiannya berkahwin dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013.

Akan tetapi, perkahwinan keduanya itu hanya bertahan selama 11 bulan.


Tiada ulasan: