Rabu, 12 Ogos 2015

Polis bertindak jika cuba 'jatuhkan kerajaan'

MALAYSIAKINI


 


Pihak polis akan mengambil tindakan sekiranya perhimpunan BERSIH 4 cuba untuk menjatuhkan kerajaan melalui tindakan yang tidak dibenarkan, kata Timbalan Ketua Polis Negara (DIGP), Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Beliau mengingatkan badan pemantau pilihan raya itu bahawa walaupun hak untuk berhimpun dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, tetapi pelanggaran undang-undang masih boleh berlaku.

"Jika anda mahu menjatuhkan kerajaan melalui tindakan yang tidak dibenarkan, maka anda melakukan kesalahan. Pihak polis terpaksa campur tangan.


"Perhimpunan dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan, itu termasuk di bawah seksyen tertentu undang-undang," katanya kepada pemberita di Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas sama ada polis akan membenarkan BERSIH bermalam di Dataran Merdeka. Perhimpunan BERSIH itu dijadual diadakan pada 29-30 Ogos.

Noor Rashid berkata polis tidak akan campur tangan jika perhimpunan itu aman dan tidak menimbulkan masalah kepada orang awam.

"Kalau anda nak buat perhimpunan aman, pihak polis tak ada masalah. Anda buatlah. Satu hari satu malam, dua hari dua malam, tiga hari tiga malam, sebulan malam sebulan, siang pun tak apa. Kita tak ada masalah.

"Tapi anda kena ingat, jika you mula mengganggu orang awam, menghalang orang, keluar kenyataan nak menyakit hati orang, hlang akses kepada orang lain, ini telah menimbulkan gangguan kepada ketenteraman awam, maka polis akan bertindak.

BERSIH telah meminta untuk berjumpa dengan pihak berkuasa melalui surat yang dihantar semalam kepada polis Bukit Aman dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata beliau tidak menerima sebarang surat memaklumkan mengenai perhimpunan itu, tetapi berkata polis akan memanggil pihak penganjur untuk perbincangan.
 
 

Tiada ulasan: