MALAYSIAKINI
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini mengumumkan
penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik
(JKNMPP).
Menurutnya, jawatankuasa itu akan merangka satu pelan pembiayaan politik
berintegriti yang komprehensif dan inklusif, khususnya untuk menentukan
proses konsultatif di semua peringkat dan mengambil kira pandangan
semua pihak.
"Pelan ini yang akan menangani isu pembiayaan politik adalah penting
memandangkan walaupun perkara ini pernah dibangkitkan oleh saya sendiri
dengan beberapa pihak lain sejak 2009 lalu, namun ia tidak mendapat
sambutan.
"Selain daripada itu, pada masa ini tidak terdapat peraturan mengenai
pembiayaan politik yang boleh menentukan sesuatu itu adalah salah atau
tidak, walaupun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan
pilihanraya," kata Najib dalam satu sidang akhbar hari ini.
Perdana menteri berkata, JKNMPP akan menghasilkan pelan tindakan
pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan
undang-undang yang diperlukan untuk disediakan dalam tempoh setahun,
seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
"Pelan ini diharapkan akan meningkatkan keyakinan bukan sahaja kepada
ahli parti-parti politik, malahan rakyat dan generasi yang akan datang,"
tambahnya.
Najib berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mengawal selia
pembiayaan politik bagi memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan
demi mewujudkan amalan politik yang sihat.
JKNMPP akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM)
Datuk Paul Low manakala seorang lagi menteri di JPM Datuk Seri Idris
Jala sebagai timbalannya.
Institut Integriti Malaysia (IIM) akan bertindak sebagai Pusat Rujukan
dan Rundingcara JKNMPP dengan bantuan sekretariat, dan peruntukan
disediakan oleh Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) JPM.
JKNMPP ini akan dianggotai oleh wakil parti politik, tokoh masyarakat,
ahli akademik, pemikir, wakil agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,
wakil sektor swasta, wakil pertubuhan masyarakat sivil dan pihak-pihak
berkepentingan, termasuk generasi muda.
"JKNMPP akan menimbang semua aspek peraturan pembiayaan politik termasuk
perubahan institusi, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dan
peraturan baru," tambahnya.
Menurut Najib lagi, JKNMPP akan menjadi penasihat kepada kerajaan dalam hal pembiayaan politik berintegriti.
"Jawatankuasa ini juga akan menyediakan forum untuk ahli-ahlinya
mengemukakan buah fikiran bagi menentukan mekanisme dan model pembiayaan
politik yang berintegriti.
"Jawatankuasa ini juga akan menyelia usaha dialog konsultatif dengan segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.
"Proses konsultatif akan berdasarkan amalan terbaik serantau dan sedunia," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan