Khamis, 20 Ogos 2015

Perhimpunan Bersih 4 mahu guling Najib, kata Nur Jazlan



Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa penganjur Bersih 4 menghormati pihak polis yang disifatkannya amat bertolak ansur.  – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Ogos, 2015.Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa penganjur Bersih 4 menghormati pihak polis yang disifatkannya amat bertolak ansur. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed mengatakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang menganjurkan perhimpunan Bersih 4 mempunyai niat untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beliau tidak akan mengambil bahagian dalam perhimpunan itu.
 
Beliau juga berkata, pihak polis sudah sangat bertolak ansur dengan pihak penganjur kerana mencadangkan tempat-tempat lain, dan mempersoalkan niat sebenar Bersih 2.0 yang berdegil mengadakan perhimpunan pada minggu Hari Kebangsaan.

"Saya tidak akan mengambil bahagian kerana Bersih tidak mempunyai niat sebenar, mereka hanya mahu menjatuhkan perdana menteri, dan saya merupakan seorang anggota pentadbiran," kata bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu.

Nur Jazlan mempersoalkan keengganan pihak penganjur berundur dan mengubah tarikh perhimpunan tersebut agar tidak mengganggu persiapan untuk sambutan Hari Kebangsaan. "Sebab itu niat mereka dipersoalkan, pihak polis yang sedia ada amat bertolak ansur," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, tidak ada polis yang lain di dunia ini bertolak ansur seperti polis Malaysia, dan mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keamanan.

"Bersih harus menghormati polis. Pihak polis bertanggungjawab untuk keselamatan rakyat. Mereka diberi kuasa oleh kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang," katanya.

Jumaat lalu, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menjemput Nur Jazlan untuk menyertai perhimpunan tersebut berikutan kenyataan beliau Putrajaya tidak mempunyai masalah dengan perhimpunan dirancang.

Nur Jazlan berkata, beliau yakin perhimpunan tersebut akan diteruskan tanpa insiden tidak diingini tetapi memberi amaran pihak penganjur perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika terdapat sebarang keganasan.

Semalam, Maria menggesa Datuk Seri Najib Razak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan tanpa halangan dan berkata perdana menteri boleh menilainya melalui jumlah penyokong terhadapnya atau sebaliknya.

"Jika perhimpunan itu gagal menarik (orang ramai), maka Najib boleh menganggapnya sebagai mandat awam untuk meneruskan pentadbirannya," katanya.

Cabaran itu dinyatakan beberapa jam selepas polis berkata tidak akan membenarkan perhimpunan tersebut diteruskan kerana penganjur tidak menjawab dalam notis untuk mengadakan perhimpunan itu.

Bersih 2.0 sebelum ini menyatakan peserta akan berkumpul berhampiran Dataran Merdeka, dan berikrar tidak mengganggu persiapan Hari Kemerdekaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Polis kemudian meminta penganjur menukar lokasi perhimpunan itu, dengan mengatakan ia tidak sesuai.
Petang semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa dipetik sebagai berkata penganjur gagal mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata, polis hanya dimaklumkan mengenai perhimpunan semalam dan dokumen-dokumen yang diserahkan tiada satu bentuk kebenaran daripada pemilik lokasi perhimpunan itu.


Tiada ulasan: