KUALA LUMPUR, Wanita penjual kacang putih yang fotonya menjadi viral selepas barangan jualannya berterabur di perkarangan hospital mungkin akan diberi peluang kedua untuk meneruskan perniagaan.


Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Mohd Zakuan Zakaria berkata, pihak majlis akan mengadakan pertemuan dengan wanita itu, S.Selvajanaki, 41 untuk berbincang tentang masalah yang dihadapainya, lapor The Star Online.

Beliau dalam satu sidang media semalam bagaimanapun berkata, pihak berkuasa tidak dapat membenarkan peniaga menjalankan perniagaan di kawasan hospital.

Selvanaki mendapat perhatian warga internet selepas fotonya yang terduduk di lantai dengan barangan jualannya berterabur tersebar di media sosial.

Gambar berkenaan yang dimuat naik di laman web Siakap Keli, dirakam oleh Ahmad Shuaib Ismail.

Kapsyen gambar terbabit turut menyatakan, dia sedih dengan nasib yang menimpa peniaga itu yang bukan sahaja tidak dibenarkan berniaga, malah barangan jualannya turut berterabur ke jalan raya.

“Jika dia tiada lesen, beri dia lesen, jangan baling barangan jualannya macam itu,” katanya Ahmad Shuaib Ismail berdasarkan rakaman gambar terbabit.

Sementara itu, pelajar kolej, Nuruddin Abdul Mujid turut memuatnaik gambar wanita berkenaan dan menafikan pihak majlis bertindak tidak adil terhadap wanita berkenaan.

Nuruddin yang turut hadir pada sidang media itu dilaporkan berkata, Selvajanaki yang bertindak membaling barangan jualannya ke jalan raya.

Dalam pada itu, Selvajanaki turut mengesahkan pegawai pihak berkuasa tidak membaling barangan jualannya sebaliknya ia jatuh kerana berlaku pergelutan.