Jumaat, 14 Ogos 2015

Pemimpin digantung, pelajar UIA demo

MALAYSIAKINI


Hampir 200 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) mengadakan perhimpunan bagi menyatakan bantahan terhadap hukuman gantung pengajian yang dikenakan dua pemimpin pelajar oleh pihak universiti, semalam.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIA Hanif Mahpa dan exconya Afiqah Zulkifli digantung pengajian setelah menjemput Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli sebagai penceramah pada satu forum GST, Mei lalu.

Facebook yang menyokong mereka, We Are All UIA2, memuat naik gambar-gambar perhimpunan di masjid UIA di kampus utama Gombak.

"Terima kasih kepada yang memberi sokongan dengan menghadiri solidariti selepas solat Jumaat tadi dan mereka yang di luar sana yang tak putus-putus menyatakan sokongan buat mereka.

"Semoga doa kita semua dapat membuka mata pihak pentadbiran UIAM yang terang-terangan menzalimi hak mahasiswa. Teruskan bersolidariti sehingga kezaliman dapat ditumbangkan," tulisan itu dipetik.

 

#Solidarity4UIA2Solidariti buat Hanif Mahpa dan Afiqah Zulkifli berlangsung dengan baik sebentar tadi.Terima kasih...Posted by We Are All UIA2 on Friday, 14 August 2015

Orang ramai membawa pelbagai tanda sokongan termasuk sepanduk dan poster yang mengecam tindakan tersebut.

Ia antaranya menyampaikan mesej "kebebasan akademik", "kuat bersama" dan "Universiti ini ada masalah".

Selain itu, perhimpunan yang berlangsung kira-kira sejam itu turut sertakan dengan ucapan Pengerusi We Unite for Islam (Wufi) UIAM, Azzan Aznan.

"Ini merupakan satu lagi tindakan tidak bermaruah daripada sebuah IPT bertaraf antarabangsa.

"Tindakan ini juga membuktikan bahawa moto rasmi UIAM iaitu Taman Ilmu dan Budi hanyalah retorik dan penipuan kepada intelek pelajar," kata Azzan ketika berucap di perhimpunan tersebut.

Kedua-dua pemimpin siswa tersebut dikenakan tindakan gantung pengajian selama dua semester dan diberi amaran keras oleh UIA ekoran penganjuran forum GST pada 13 Mei 2015.

Forum pada 13 Mei itu bertukar kecoh apabila polis menyekat Rafizi daripada berucap di majlis berkenaan.

Seorang lagi pemimpin politik, bekas anggota exco Pemuda Umno, Lokman Adam bagaimanapun dibenarkan berucap di acara sama.

Tiada ulasan: