KUALA LUMPUR, Industri pelancongan di Cameron Highlands masih menerima kesan daripada kejadian banjir lumpur yang melanda Lembah Bertam pada November tahun lalu, kerana pelancong bimbang bencana itu akan berulang.


Pemilik hotel butik, Siva Dass berkata, kejadian banjir lumpur yang mendapat liputan meluas media tahun lalu, masih menghantui ramai pelancong, khasnya orang tempatan.

“Malangnya, mereka tidak sedar kejadian itu hanya berlaku di Lembah Bertam yang bukan merupakan destinasi pelancongan.

“Sehingga hari ini, masih ada pelancong yang tanya saya, adakah selamat untuk mereka datang ke Cameron Highlands,” katanya kepada The Rakyat Post.

Siva yang juga pengasas dan pengendali laman sesawang tempahan hotel di tanah tinggi itu, CameronHighlands.com berkata, pelancong masih beranggapan seluruh Cameron Highlands berisiko dilanda tanah runtuh dan bencana alam lain.

Cameron Highlands menjadi tumpuan media, susulan banjir lumpur pada Oktober 2013 yang meragut beberapa nyawa dan memusnahkan rumah-rumah serta lebih 100 kenderaan, sebelum kejadian itu berulang pada November lalu.

Susulan itu, sektor perhotelan di tanah tinggi itu terjejas teruk, kerana ramai pelancong membatalkan tempahan mereka.

Seorang lagi pemilik hotel, Datuk Yee Shan Kon berkata, kejatuhan nilai ringgit hanya memberi sedikit kesan kepada pelancong berbelanja di Cameron Highlands.

Yee yang mengendalikan beberapa hotel di Tanah Rata dan Brinchang berkata, kadar tempahan hotel dalam tempoh beberapa bulan ini tidak banyak meningkat, tetapi ia bukan disebabkan kejatuhan nilai mata wang tempatan.

“Pelancong asing di Cameron Highlands biasanya membuat tempahan jauh lebih awal sebelum percutian mereka bermula, biasanya tidak dipengaruhi kadar pertukaran mata wang.

“Bagaimanapun, mereka akan berbelanja lebih, jika nilai mata wang mereka mengukuh, ketika mereka bercuti di sini,” katanya yang juga Pengerusi MCA Bahagian Cameron Highlands.

Pemandu pelancong, S. Raju pula berpendapat, kesesakan lalu lintas antara faktor pelancong tidak mengunjungi Cameron Highlands.

Beliau memberi contoh cuti umum sempena Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, di mana kesesakan lalu lintas yang teruk menyebabkan pengunjung dari Kuala Lumpur mengambil masa 10 jam untuk sampai ke Cameron Highlands.

“Kesesakan trafik mencetuskan huru-hara di bandar-bandar utama, apabila perjalanan 20 minit mengambil masa lebih dua jam.

“Pelancong amat marah dan ramai kata mereka tidak mahu datang lagi,” katanya sambil menambah, ia adalah mimpi ngeri, khasnya pada hujung minggu dan cuti umum atau cuti sekolah.