KUALA PILAH, Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) diingatkan supaya tidak terlibat dalam perkara bertentangan dengan undang-undang termasuk perhimpunan Bersih 4.0 yang akan dianjurkan di ibu negara pada hujung bulan ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mara akan mengambil tindakan terhadap pelajar tajaannya yang didapati terlibat dalam perhimpunan itu.

“Bentuk tindakan yang akan dikenakan bergantung dari segi akta, peraturan dan perjanjian pelajar dengan Mara.

“Oleh itu, kalau ada di antara mereka melanggar peraturan, perjanjian dan sebagainya maka mereka perlu bersedia untuk menghadapi tindakan daripada Mara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Pilah di sini, hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran himpunan Bersih 4.0 di Dataran Merdeka dan Padang Merbok, pada 29 dan 30 Ogos ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz menegaskan, Dataran Merdeka hanya dikhaskan untuk acara-acara peringkat nasional.

Himpunan Bersih 4.0 dijadualkan bermula pada jam 2 petang 29 Ogos ini sehingga jam 11.59 malam 30 Ogos ini.