Sabtu, 22 Ogos 2015

PAS tak larang ahli sertai BERSIH 4

MALAYSIAKINI





PAS Selangor tidak melarang ahlinya menyertai himpunan aman BERSIH 4 yang akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini di ibu negara, tegas pesuruhjayanya Datuk Iskandar Abdul Samad.

"Ada tuduhan mengatakan PAS halang ahlinya turun, tetapi itu tak benar.

"PAS Selangor tak pernah halang ahli untuk turun menyertai himpunan BERSIH 4. Tidak ada masalah untuk mereka sertai himpunan itu. Apa yang penting ialah ia selamat dan aman," katanya kepada pemberita selepas majlis pendaftaran dan pelancaran Rumah Selangorku, di Setia Alam hari ini.

Diminta mengulas berhubung penyertaan Unit Amal PAS pada himpunan itu nanti, Iskandar berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya.

"Itu saya tak tahu sebab saya bukan dalam unit tersebut," katanya ringkas sebelum berlalu meninggalkan majlis.

Perhimpunan BERSIH 4 dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 Ogos ini di tiga kota besar, iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Kuala Lumpur menjadi lokasi terbesar himpunan itu di mana penganjur BERSIH 4, Maria Chin Abdullah menjangkakan lebih 100,000 akan menyertai mereka.

Malah, Maria Chin juga merancang berarak daripada lima tempat tumpuan pelancong di sekitar bandar raya Kuala Lumpur menuju ke Dataran Merdeka dan bermalam di sana.


Tiada ulasan: