KOTA BHARU, PAS mungkin akan mengambil tindakan lebih keras ke atas ahlinya yang didapati terbabit dengan Gerakan Harapan Baharu (GHB) selepas Mesyuarat PAS Pusat di Kuala Lumpur pada 8 Ogos depan.


Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sehubungan itu buat masa sekarang tiada tindakan atau komen yang lebih konkrit boleh diambil kepada mana-mana ahli yang didapati terbabit dengan GHB.

Beliau berkata, pada mesyuarat berkenaan setiap wakil negeri dikehendaki membentangkan laporan dan maklumat terperinci mengenai perkembangan parti di bahagian akar umbi.

Mohd Amar berkata, pada mata kasarnya dilihat isu GHB ini tidak memberi kesan yang besar walaupun mengetahui ada yang aktif selain ahli Pas yang berminat.

“Pada pengamatan saya isu ini tidak serius walaupun mereka yang terbabit di semua peringkat usia termasuk yang lama dan baru,” katanya mengulas mengenai perkembangan GHB di Kelantan.

Katanya, tiada apa yang boleh diberikan ulasan kukuh kerana GHB ini belum lagi ditubuhkan secara rasmi sebagai parti politik.

“Apabila betul-betul diisytiharkan siapa presiden, siapa ahli barulah kita boleh memberikan komen sebenar selain tindakan yang boleh diambil,” katanya.