Ahad, 23 Ogos 2015

PAS ada kelebihan walaupun GHB ada ramai tokoh berpengaruh - Penganalisis

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic


SHAH ALAM: Gerakan Harapan Baru (GHB), parti serpihan yang diwujudkan oleh kumpulan progresif PAS, perlu berusaha lebih keras bagi menyaingi parti asalnya walaupun kebanyakan pemimpinnya terdiri daripada tokoh berpengaruh.

Penganalisis geopolitik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, sebagaimana PAS yang juga perlu meningkatkan usaha selepas kehilangan beberapa pemimpinnya, kedudukan GHB sedikit berbeza kerana parti berkenaan masih belum 'establish' (kukuh) berbanding PAS.
 
Justeru kata Mohd Fuad, penyertaan pemimpin berpengaruh ke dalam GHB tidak boleh dijadikan kayu ukur yang menentukan peningkatan sokongan ahli khususnya akar umbi terhadap parti baru berkenaan.  
 
"Parti GHB ini ada juga pengikutnya. Kerana seseorang itu menubuhkan parti politik kerana mereka yakin bahawa ada penyokong.   
 
"Kita lihat tokoh seperti Mohamad Sabu dan lain-lain, memang mereka ada pengikut. Tapi persoalannya seramai mana penyokong mereka? Adakah apabila GHB ini ditubuhkan, walaupun tokohnya hebat, mungkin mereka (pengundi) nak menilai apa harapan yang parti ini boleh beri kepada Malaysia dan parti yang dibawa itu.
 
"Tokoh hebat tapi setakat mana prestasinya. Orang nak melihat prestasi anda," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos.
 
Bekas Timbalan Presiden PAS yang kini merupakan Pengerusi GHB, Mohamad Sabu atau Mat Sabu sebelum ini melahirkan keyakinannya bahawa parti baru itu akan mendapat lebih banyak sokongan daripada rakyat.
 
Mat Sabu berkata, ini berdasarkan maklum balas yang luar biasa yang diterima GHB dalam beberapa siri jelajah mereka. 
 
Bagaimanapun Dr Fuad berpandangan, ahli parti mahupun pengundi akan menilai manifesto yang akan dibawa oleh GHB sebelum memutuskan untuk meninggalkan PAS dan menyokong parti baru berkenaan. 
 
"Siapa saja tokoh boleh di atas, tapi bagaimana nak menyampaikan hasrat parti baru ini kepada akar umbi. (Perlu terangkan) apa program anda, mengapa perlunya menubuhkan sebuah parti sedangkan PAS sudah mantap.
 
"Adakah hasrat anda untuk sesuatu? Adakah mahu mengubah ideologi Islam supaya boleh diterima masyarakat, atau adakah kerana mahu menjadi rakan kongsi PR menggantikan PAS?" kata beliau yang juga Timbalan Dekan (Siswazah dan Hubungan Antarabangsa) UKM.    
  
Melihatkan kepada perbandingan situasi antara PAS dan GHB, Dr Fuad yakin bahawa PAS mempunyai sedikit kelebihan berbanding parti baru itu.
 
"Saya melihat, PR perlu memikirkan kalau GHB ini masuk bergabung dengan mereka, sejauhmana mereka memikirkan mereka boleh capai kejayaan sepertimana bersama PAS dulu, (menang) sehingga boleh bentuk kerajaan negeri.
 
"Saya merasakan kelebihan itu masih kepada PAS lagi dan status quo jumlah kerusi yang mereka menang itu masih kekal, atau mungkin bertambah. Kalau kalahpun mungkin tak banyak, di kawasan 50:50," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: