KUALA LUMPUR - Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan tuntutan saman terhadap Ketua UMNO Bahagian Kepong Datuk Rizuan Abd Hamid susulan kenyataan beliau yang mendakwa terdapat “berbilion ringgit” dalam akaun bank Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya.

Dr Wan Azizah, Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh bersama anak-anaknya, Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai Nurul Izzah, Nurul Nuha dan Mohd Ihsan memfailkan notis tuntutan tersebut kepada Rizuan semalam.

Melalui notis tuntutan yang diedarkan kepada media melalui peguam mereka, Daim & Gamany, Rizuan dituntut mengemukakan permohonan maaf dalam akhbar harian nasional dan menarik balik artikel tersebut sepenuhnya.

Selain itu, Rizuan juga dituntut membayar sejumlah pampasan kerana merosakkan nama dan reputasi keluarga Anwar serta tidak lagi mengulangi kenyataannya.

Beliau juga dituntut untuk menjawap notis berkennaan dalam tempoh 48 jam.

“Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan prosiding undang-undang dikenakan dengan kosnya ditanggung pihak kamu sepenuhnya,” kata notis tuntutan tersebut.

Notis tersebut turut memetik kenyataan Rizuan dalam portal berita Astro Awani yang mendakwa Yahudi menggunakan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan ketika berucap pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kepong, minggu lepas.

“Pembangkang pakai duit ratusan juta, berbilion. Tiada siapa pun yang mempersoalkan. Tengok saja dalam akaun Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, akaun Nurul Izzah, akaun Nurul Nuha, akaun Mohd Ihsan, berapa juta bilion yang ada dalam akaun itu? Kenapa tidak dipersoalkan?” kata Rizuan dalam ucapannya seperti yang dipetik dalam laporan portal Astro AWANI itu.

Menurut notis tuntutan berkenaan dakwaan Rizuan itu palsu dan fitnah terhadap keluarga Anwar.

Dalam ucapannya, Rizuan turut mendakwa, Yahudi menggunakan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) dan pengarang laman blog Sarawak Report, Claire Brown untuk menjatuhkan kepimpinan kerajaan dengan memanipulasi isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Lihat saja Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid pergi ke hulu ke hilir untuk mempertahankan Datuk Seri Najib Razak daripada serangan puak Yahudi terutama yang mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia melalui pintu belakang.

“Mereka mahu jatuhkan kerajaan kita,” katanya.