Ahad, 9 Ogos 2015

Menteri minta henti serangan kepada SPRM, elak prasangka

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta serangan, sekatan dan intimidasi terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihentikan.
 
Ujarnya tindakan itu boleh menyebabkan timbulnya prasangka negatif terhadap kerajaan dan institusi terbabit sekaligus menggambarkan ada pihak mahu menyembunyi fakta sebenar mengenai siasatan itu.
 
"Apa saja intimidasi (tindakan menakutkan pegawai SPRM) yang seolah-olah terancang, mestilah dihentikan serta-merta. Tindakan seperti ini akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan mencetuskan kemarahan rakyat. 
 
"Rakyat akan beranggapan setiap kali SPRM mahu menjalankan tugas, macam-macam berlaku kepada mereka, termasuk pegawainya dipindahkan dan sebagainya. "Saya harap perkara ini ditangani dengan segera. 
 
"Malah, saya difahamkan ada seorang pegawai SPRM dipindahkan hanya kerana kesalahan menerima kunjungan wakil rakyat pembangkang ke SPRM," katanya pada sidang media selepas menutup Persidangan Mesyuarat Majlis Belia Malaysia (MBM), di sini, malam tadi. 
 
Khairy berkata demikian ketika mengulas isu dua pegawai kanan SPRM iaitu Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob, yang diarahkan berpindah ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta-merta berikutan siasatan kes 1MDB. 
 
Mengulas lanjut, Khairy berkata, tindakan memindahkan pegawai SPRM ke JPM adalah tidak adil kerana mereka hanya menjalankan tugas diamanahkan. 
 
"Saya melihat pemindahan pegawai sungguh pelik dan sangat mengecewakan seolah-olah ada intimidasi terancang terhadap SPRM yang akan melemahkan institusi kerajaan dan pihak berkuasa kita. 
 
"Biarlah SPRM menjalankan tugas tanpa sekatan atau gangguan dari mana-mana pihak. Jangan kerana kita ada agenda tertentu, kita sanggup meruntuhkan institusi ada dalam negara ini. 
 
"Saya tidak sanggup membenarkan keadaan seperti itu berlaku. Institusi seperti SPRM mestilah kita pertahankan untuk menjadi sentiasa bebas dan dapat menjalankan tugas dengan telus," katanya.
 
 

Tiada ulasan: