KUALA LUMPUR, Pas hari ini mengeluarkan amaran tegas kepada kepimpinan kerajaan supaya tidak mengganggu badan siasatan dan membiarkan siasatan dijalankan secara telus dalam usaha mengembalikan keyakinan pelabur.


Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata jika kerajaan melakukan apa-apa yang mencemar dan menimbulkan curiga terhadap badan siasatan khususnya Bank Negara dan Gabenornya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tanpa asas kukuh, dikhuatiri nilai Ringgit akan menjunam lebih teruk, mungkin melepasi paras krisis kewangan 1998.

“Fikir sebelum bertindak. Utamakan kepentingan rakyat dan negara. Apa yang diperlukan waktu ini ialah ketelusan dan siasatan diteruskan tanpa gangguan dan bukannya tindakan membalut kertas dengan api untuk mengembalikan keyakinan pelabur,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, hari ini.

Tuan Ibrahim mendakwa akibat krisis hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pelabur mula meragui integriti kepimpinan negara.

Katanya, keadaan bertambah parah selepas tindakan polis menjalankan siasatan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara selain sidang Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) ditangguhkan tatkala siasatan 1MDB rancak dijalankan.

“Ura-ura rancak mengatakan seterusnya akan disasarkan kepada Bank Negara. (Mantan Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad juga dapat menghidunya,” kata Tuan Ibrahim.

“Ia bermula sejak kemunculan blog-blog misteri sejurus pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri yang cuba membangkitkan keraguan terhadap Bank Negara dan Gabenornya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hangat dipromosikan di sosial media.”