MALAYSIAKINI
Sekumpulan mahasiswa hari ini mengumumkan akan mengadakan perhimpunan
#LangkahSiswa di depan parlimen pada 24 Ogos ini bagi menuntut Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Kumpulan itu, yang
menamakan diri mereka Gerakan Mahasiswa Selamatkan Negara, juga
menuntut penjelasan dalam isu 1MDB serta mahu sidang khas bersama
anggota parlimen kerajaan dan pembangkang.
"Kami akan terus
(berdemonstrasi), tetap dengan keputusan serta tuntutan kami sehingga
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi respons," kata pengerusi
kumpulan itu Muhammad Luqman Nul Haqim Zul Razali.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di perkarangan Bank Negara di Kuala Lumpur sebentar tadi.
Muhammad
Luqman berkata apa yang berlaku hari ini "mencacatkan sistem demokrasi
negara" gara-gara tindakan seorang pemimpin yang cuba mempertahankan
hayat politiknya.
Katanya, keadaan itu akhirnya memberi kesan
buruk kepada ekonomi negara sehingga berlakunya krisis ekonomi dan
kejatuhan nilai ringgit.
"Perhimpunan itu nanti adalah tanda
hilangnya kepercayaan mahasiswa terhadap Najib sebagai Perdana Menteri
Malaysia," ujarnya lagi.
Aktivis mahasiswa sebelum ini pernah
mengancam mengadakan demonstrasi besar-besaran jika Najib tidak
memberikan penjelasan meyakinkan terhadap laporan The Wall Street Journal (WSJ) ke atasnya.
Sementara
itu, aktivis mahasiswa Muhammad Faizuddin Ghazali mendesak pihak
Universiti Antarabangsa Malaysia (UIA) menarik semula hukuman gantung
pengajian dua pemimpin pelajar yang mengadakan perhimpunan bagi
menyatakan bantahan terhadap universiti, Mei lalu.
Katanya,
mahasiswa tidak teragak-agak mengadakan demontrasi besar-besaran pada
September depan sekali gus menuntut rektor UIA meletak jawatan sekiranya
pihak universiti enggan membatalkan hukuman berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan