Selasa, 18 Ogos 2015

Khalid soal motif sorok DEIG bawah MBI?

Khalid Ibrahim
Khalid ketika ditemui media di sidang Dun, hari ini. - Foto Sinar Harian


SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertikai ketelusan penubuhan entiti pelaburan baharu, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang disorok di bawah Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

Adun Pelabuhan Klang itu mendakwa DEIG akan menimbulkan masalah urus tadbir termasuk ketidaktelusan dalam hal kewangan dan pelaburan memandangkan entiti berkenaan bebas audit.

"Sebelum 2008 MBI ditadbir di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), bukan MBI di atas KDEB. Sebelum ini tidak ada pengurusan yang jelas mengenai urus tadbir MBI. Saya sudah betulkan semula supaya MBI menjadi entiti khas terus kepada kerajaan dan terus kepada Dewan maknanya tidak ada perantara.

"Melalui entiti pelaburan MBI kontrak- kontrak akan dipantau terus melalui Dewan bukan disorok di bawah syarikat yang disorok (DEIG). Penubuhan ini jelas mengurangkan ketelusan," katanya ketika sesi soal jawab dalam sidang Dun, hari ini.

Khalid menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan aset-aset oleh sebab itu semua perkara ini harus dibawa ke Dewan untuk dinilai ketelusannya.

Selain Khalid, beberapa Adun kerajaan dan pembangkang turut bangkit mempersoalkan kewajaran penubuhan DEIG yang dianggap menjalankan fungsi bertindih dengan MBI.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bangun membidas persoalan yang dibangkitkan pendahulunya dengan mengkritik pemberian pampasan sebanyak RM 2.6 juta kepada lapan bekas pegawai MBI.

"Kalau nak dengar ceramah ekonomi kita boleh dengar sampai petang, jika benar MBI diambil alih daripada kedudukan tidak jelas di bawah KDEB dan diletakkan entiti baru dinamakan MBI. Bunyi sedap tetapi bagaimana dari segi pelaksanaan?

"Bagaimana pegawai MBI boleh bayar pampasan tanpa kelulusan," soal Azmin.

Khalid membidas bahawa perkara itu masih dibicarakan di mahkamah manakala Speaker, Hannah Yeoh meminta mereka berdua tidak menyebut urusan mahkamah di Dun.

Azmin mengkritik ketelusan MBI yang kononnya bertanggung jawab kepada Dewan namun tidak memaklumkan pemberian pampasan dengan jumlah yang tinggi sedangkan ahli lembaga pengarah tidak dimaklumkan secara terbuka.

Adun Bukit Antarabangsa menjelaskan rasional mewujudkan DEIG yang diasingkan daripada pengurusan MBI agar tindakan menjejaskan kewangan negeri.

"Sebab itu diwujudkan mekanisme baharu supaya setiap pelaburan mesti bertanggungjawab dan tidak merugikan simpanan kerajaan negeri.

"DEIG tidak akan melibatkan pinjaman pasaran dalam pelaburan sebab kita ada hartanah yang besar untuk bangunkan aset itu," katanya.


Tiada ulasan: