Kerjasama PKR, DAP, PAS Selangor kekal walaupun Pakatan berpecah, kata speaker
Speaker
DUN Selangor Hannah Yeoh berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima
sebarang notis perubahan kerusi daripada mana-mana pihak termasuk PAS,
sekali gus menolak spekulasi DUN bakal digantung. – Gambar fail The
Malaysian Insider, Kedudukan kerusi PAS,
PKR, dan DAP dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor masih kekal 15,
13, 15 walaupun hubungan politik Pakatan Rakyat (PR) diisytiharkan
berakhir, kata Hannah Yeoh. Speaker DUN Selangor itu berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima
sebarang notis perubahan kerusi daripada mana-mana pihak termasuk PAS,
sekali gus menolak spekulasi DUN bakal digantung.
"Buat masa ini tidak ada isu kerana saya tidak menerima apa-apa surat.
Kali terakhir daripada PAS yang memaklumkan parti itu menggantung 2
ahlinya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Saari Sungib dan
Adun Morib Hasnul Baharuddin.
"Setakat ini kedudukan kerusi dalam DUN kekal," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini. Mengenai kemunculan kuasa baharu Gerakan Harapan Baru (GHB) bakal
menggantikan PAS, beliau enggan mengulas lanjut kerana menganggap isu
itu terlalu awal dan menyerahkan kepada pemimpin tertinggi parti untuk
menentukannya.
"Sebagai speaker saya tidak boleh komen tetapi terpulang kepada
pemimpin tertinggi untuk menentukannya, jadi isu ini bagi saya masih
terlalu awal.
"Setakat yang saya tahu tiada apa-apa notis perubahan dan perjalanan
Dewan berjalan lancar hari ini. Ini contoh kematangan politik yang
ditunjukkan Adun," katanya.
PAS dilaporkan bakal kehilangan jumlah keahliannya apabila GHB Selangor
dilancarkan akhir bulan ini dan ramai ahli PAS akan menyertainya.
Penyelaras GHB Selangor, Izham Hashim pada sidang media 14 Ogos lalu
berkata, bahagian GHB di kesemua 22 kawasan Parlimen di Selangor akan
ditubuhkan.
"Anda akan terkejut pada hari pelancaran itu, anda akan lihat sejumlah
bahagian dan cawangan PAS akan berakhir," kata Izham yang juga
Pesuruhjaya PAS Bahagian Kelana Jaya.
Turut hadir pada sidang media itu, Saari dan Hasnul yang digantung
keahliannya kerana menyokong DAP dan PKR yang mencadangkan nama presiden
PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar
Selangor tahun lalu.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada 16 Jun lalu mengumumkan Pakatan
Rakyat sudah berakhir atas alasan kecewa dengan PAS dan presidennya
Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membuat tindakan melanggar prinsip
gabungan pembangkang itu.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan 22 Julai lalu
mengumumkan satu pakatan baharu pembangkang yang akan bekerjasama dengan
semua kumpulan progresif akan ditubuhkan tidak lama lagi, dan menggesa
rakyat Malaysia menyertainya demi menyelamatkan negara daripada krisis
akibat skandal rasuah, kewangan, dan kejatuhan nilai ringgit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan