MALAYSIAKINI
Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusannya pada 27 Ogos ini
berhubung rayuan bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo
terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara 12 bulan yang dikenakan
terhadap beliau bagi tuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh
tanah dan sebuah banglo.
Ketua komunikasi korporat dan hubungan antarabangsa Mahkamah Persekutuan
Mohd Aizuddin Zolkeply memberitahu media hari ini tentang tarikh yang
ditetapkan itu.
Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar
Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan keputusan
penghakiman mengenai rayuan Dr Khir itu setelah mendengarnya pada 19
Januari.
Panel itu turut dianggotai hakim-hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali.
Pada 23 Disember 2011, Mahkamah Tinggi di Shah Alam mendapati Dr Khir,
49, bersalah kerana mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik,
47, dua plot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, pada 2007
daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin H
ayroni, dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap bekas Menteri
Besar Selangor itu.
Dr Khir, yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang,
dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor
di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.
Mahkamah Tinggi juga memerintahkan harta berkenaan dirampas dan diserahkan kepada kerajaan.
Pada 30 Mei tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Dr Khir dan
mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Beliau kemudian memfailkan
rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
Dr Khir diwakili sepasukan peguam diketuai peguam kanan Tan Sri Muhammad
Shafee Abdullah, manakala timbalan pendakwa raya Mohd Masri Daud
mewakili pihak pendakwaan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan